Wednesday, December 2, 2009

Masakan Orang Asli.............

Pada 8 - 12hb November yang lepas aku dan rakan penyelidek Dr Salim menjalankan kajian mengenai makanan dan masakan orang asli. Kami mengikuti Ekspedisi Gunung Benom, Pahang yang dianjurkan oleh Akademik Sains Malaysia. Para peserta terdiri dari berbagai agensi dan institusi yang mengikuti program ini dengan tujuan dan matlamat masing-masing. Bagi kami, kami ingin melihat, menyelidek, dan mendokumentasikan makanan dan masakan orang asli. Untuk kali ini bersesuaian dengan tempat ekspedisi maka kaum orang asli Jah Hut, Cek Wong dan Temuan menjadi pilihan. Jah Hut dan Cek Wong ini dari kelompok kaum Senoi manakala Temuan pula dari kelompok kaum Melayu Asli - Proto Malay.


Maklumlah ini merupakan kali pertama kami membuat kajian secara langsung mengenai orang asli maka sudah tentu berbagai persoalan timbul. Lebih-lebih lagi dari kabar yang selalu didengar terdapat pelbagai pantang larang yang perlu dihormati apabila berhubungan dengan orang asli. Berbagai cerita yang didengar. Di samping itu kami juga mencari sumber rujukan di kalangan rakan penyelidek yang pernah berurusan dengan masyarakat orang asli. Kesimpulannya terdapat dua pandangan yang agak berbeza mengenai orang asli. Baiklah, bukan mengenai tingkah laku, kelakuan atau tebiat orang asli yang hendak diceritakan di sini tetapi mengenai makanan dan masakan mereka.


Sudah tentu sekali orang asli ini menganuti pelbagai agama, ada yang beragama nenek moyang, Islam dan sebagainya. Bagi masyarakat orang asli dari suku kaum Jah Hut yang mendiami Kg Penderas berdekatan dengan Pekan Kuala Krau (antara Temerloh dan Jerantut) ini kebanyakan mereka masih lagi menganuti agama nenek moyang. Jadi kami perlulah mengambil langkah supaya apabila melakukan penyelidekan masakan ini memastikan bahan yang dimasak adalah suci lagi halal supaya kami dapat benar-benar menilai rasa dan keistemewa masakan orang asli ini. Memang telah ada kajian yang menyatakan bahawa makanan orang asli adalah kurang berkhasiat. Ianya memang benar tetapi apa yang ingin dinyatakan di sini bahawa cara masakan mereka adalah sihat. Dari segi bahan yang digunakan agak kurang dari kandungan khasiatnya. Tetapi cara masakan yang diamalkan adalah sihat. Rata-rata cara masakan adalah secara merebus dan membakar - tiada atau terlalu kurang penggunaan minyak atau masakan dengan cara mengoreng. Begitu juga tiada penggunaan santan dalam masakan tradisi mereka. Penggunaan ubi, keledek, keladi dan labu amat ketara dalam masakan mereka. Bahan-bahan ini bagaikan 'agen pemekat' masakan mereka selain dari rasa. Penggunaan minyak dan santan kalau ada pun ianya telah dipengaruhi oleh unsur luar terutama sekali cara memasak orang Melayu. Satu yang agak menyentuh perasaan aku adalah sikap orang asli yang ringkas dan 'seadanya'. Apabila persoalan apa yang dimasak untuk makanan, jawapannya begitu mudah "tengoklah apa yang dapat, kami tak kira asalkan boleh jadi makanan." Ini betul-betul yang dikatakan "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang." Kita ini yang kadang kalanya terlalu memilih.


Apa yang paling diingati dalam ekspedisi kali ini adalah makan ubi kayu yang dimasak dalam buluh secara membakar. Hidangan ini disediakan oleh Saudara Edi Ahmad seorang bekas tentera dari unit Senoi Praak, orang asli Jah Hut. Sedapnya tidak terkira walaupun cuma ubi kayu - aroma dan kemanisan hidangan tidak dapat dilupakan. Nantilah senang-senang esok aku nak cuba buat kat rumah - demonstrasikan pada anak-anak. Selain itu aroma yang tidak boleh dilupakan ialah bau Daun Semomok, macam bau pijat. Ianya digunakan sebagai penyedap dalam masakan orang asli.............




Edi Ahmad sedang mendemonstrasikan cara memasak ubi kayu dalam buluh, memang sedap.




Entut, Pak saudara batin Non di Kampung Penderas, isteri dia sedang mendemonstrasikan cara membuat kerabu bunga betik menggunakan buah perah.


Ustaz Yusof dari suku kaum Jah Hut



Abu mendemonstrasikan cara memperasakan ayam sebelum dipanggang menggunakan buluh. Ringkas dan mudah tapi lazat. Abu dari suku kaum Jah Hut berkahwin dengan isteri yang keempat dari kaum Cek Wong. Orang asli tidak boleh berkahwin lebih pada satu atau menyimpan lebih dari satu isteri dalam satu-satu masa. Kawin cerai di kalangan orang asli agak biasa. Abu mempunyai 11 orang anak termasuk anak tiri.