There was an error in this gadget

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan datang lagi......................

Alhamdulillah, ALLAH SWT telah memanjangkan umur kita agar dapat bertemu dengan Ramadhan dan menjadi tetamunya sekali lagi. Muga Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan yang paling baik dalam sepanjang hidup kita. Bila bercerita pasal Ramadhan tentu kita tidak lepas untuk bercerita tentang Bazar Ramadhan yang akan beroperasi di merata tempat. Maka 'terbit'lah berbagai juadah dan hidangan yang mengiurkan dan mempersonakan mata dan nafsu yang memandang.


Melawat ke Bazar Ramadhan semasa bulan puasa ini bagaikan suatu kemestian bagi sesetengah orang, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk memasak juadah berbuka. Maka membeli belah untuk berbuka menjadi kemestian dan ada pula yang beranggapan bahawa ianya datang setahun sekali, jadi apa salahnya kita berbelanja. Apapun alasan yang diberikan biarlah ianya bertepatan dengan 'roh' Ramadhan itu sendiri, bersederhana, berhemah agar ibadah Ramadhan kita diterima dan diredhai oleh ALLAH SWT.

Sudah menjadi kebiasaan kepada aku setiap Ramadhan, aku memastikan agar dapat memasak untuk keluarga. Kalau tidak sepanjang bulan tapi sekurang-kurangnya aku cuba menyediakan juadah berbuka sekerap dan semampu. Kunjungan ke Bazar Ramadhan merupakan pilihan terakhir. Aku sendiri tidak mengalakkan anak-anak untuk berkunjung ke sana. Itu semua mempunyai alasan yang tertentu. Kunjungan ke Bazar Ramadhan bagi aku banyak buruknya dari baik. Melihat juadah yang disediakan boleh meliurkan seseorang tentu itu sendiri tidak elok bagi 'roh' sebenar Ramadhan. Keduanya, dari pengalamanm didapati makanan yang disedia dan dijual di Bazar Ramadhan ini agak diragui dari segi kebersihan dan keselamatannya. Bayangkan mereka yang berniaga ini menyediakan makanan yang untuk dijual seawal pagi dan dihidang atau di tempatkan di tempat jualan seawal tengahari tentu sahaja 'kebersihan dan keselamatannya' dipersoalkan. Kejadian hidangan yang dibeli dari Bazar Ramadhan yang menjadi basi dan tidak dapat dimakan semasa berbuka sering kali kita dengar. Dalam hal ini siapakah yang harus dipersalahkan? Pelanggan mempunyai pilihan dan manakala perniaga pula mempunyai tanggungjawab. Menyempurnakan Ramadhan menjadi tanggungjawab kita semua. Ianya bukan sekadar untuk menahan lapar dan dahaga, ianya lebih daripada itu. Ramadhan merupakan 'madrasah' yang akan menyekolahkan kita sepanjang sebulan penuh. Ramadhan kali ini mungkin akan jadi lebih baik sekiranya kita mampu berfikir seketika merenung kembali kesempurnaan ibadah kita. Bukan sahaja ibadah-ibadah khusus malah yang bersifat umum atau bukan sahaja yang bersifat fardu a'in tapi merangkumi fardu kifayah.

Di bulan yang mulia ini kita sememangnya disarankan untuk memberi makan sekadar kemampuan kita walaupun sebutir kurma. Bayangkan perkara yang dianggap sesetengah orang itu kecil tetapi di sisi Allah SWT ianya merupakan suatu ibadah. Jadi rasanya tidak keterlaluan jika dapat disarankan kepada setiap individu muslim yang mempunyai peranan masing-masing dalam penyediaan makanan dapat merenung dan berfikir sejenak bagi memperbaiki ibadah kita. Jika memberi makan kepada orang yang berpuasa satu ibadah sudah tentu pekerjaan menyediakan juadah bagi mereka yang berpuasa juga ibadah. Justeru alangkah baiknya jika kita dapat sulamkan pekerjaan kita dan digarapkan dengan ibadah supaya segala perbuatan kita mendapat keberkahan dari Allah. Bagi mereka yang berpuasa dan perlu membeli belah untuk berbuka haruslah mempunyai sifat bersederhana dan berhemah dalam berbelanja dan jangan terikat kepada nafsu. Sementara bagi mereka yang berniaga harus dan semestinya memberikan perhatian yang lebih dari segi kebersihan dan keselamatan makanan yang disediakan bukan sekadar untuk mencari untung semata-mata. Marilah kita sama-sama memperbaiki ibadah kita di dalam bulan yang mulia ini, agar segala 'latihan' yang kita perolehi sepanjang berada di 'madrasah' Ramadhan ini dapat kita terjemahkan di bulan-bulan yang lain.

"Aku nak mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak - semuga Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun-tahun yang lepas -dan semuga dipanjangkan umur agar kita dapat bertemu di Ramadhan akan datang."

Saturday, August 7, 2010

Char Kuey Teow...............

"Bagi saya Char Kuey Teow tak nak basah bagi kering sikit", kata ku pada pelayan sebuah restoran. "Maaf bang Char Kuey Teow tak boleh nak buat kering, semua basah-basah" balas pelayan tersebut. "Aik takkan tak boleh buat kering sikit" kata ku lagi. "memang style Char Kuey Teow basah bang". balas semula pelayan tersebut sambil matanya seolah melirik keada aku seakan berkata........."eh, pakcik ni tak reti ke Char Kuey Teow mestilah basah."
Pernah mengalami situasi begini? Bagi aku perkara ini memang kerap berlaku kerana Char Kuey Teow merupakan salah satu makanan 'favourite' aku dan juga salah satu masakan yang paling aku mahir masak. Rasanya ramai perniaga Char Kuey Teow melayu agak terkeliru daripada istilah Char Kuey Teow itu. Sebenarnya perkataan Char Kuey Teow adalah daripada perkataan bahasa cina dailet kantonis, kalau diterjemahkan ke dalam bahasa melayu membawa makna Kuey Teow Goreng. Jadi kenapa Kuey Teow Goreng tidak boleh digoreng kering? Inilah masalahnya, ramai perniaga di kalangan orang kita melayu beranggapan bahawa Char Kuey Teow adalah sejenis masakan Kuey Teow yang basah dengan berkuah seakan akan Kuey Teow Kung Fu (sebenar bukan Kung Fu tapi Kung Hu yang membawa maksud kantonis) yang berkuah cuma Char Kuey Teow yang dimaksudkan ini mempunyai kuah yang agak gelap. Rasanya bab makanan ini kita kenalah sedikit peka dari segi asal usulnya. Sekurang-kurangnya kita tahu apa yang kita makan, mana asal usulnya, kenapa makanan tersebut dicipta adakah ianya bersangkutan dengan budaya dan agama atau sebaliknya. janganlah kita hanya tahu masak dan makan sahaja. Kadang kala penghayatan sejarah penting dalam kehidupan kita supaya kita lebih kenal jatidiri kita.
Sebenarnya banyak perkara mengenai makanan yang amat sensitif selain daripada isu yang paling 'aula' iaitu isu halal itu sendiri. Umpamanya asal usul satu ciptaan makanan juga penting untuk kita ketahui agar tidak hanya jadi bangsa yang cuma mengikut sahaja, seolah-olah bagaikan satu 'budaya palsu atau tiruan semata-mata' tanpa ada keaslian. Tahukah, kita bahawa 'croisssant' yang kita makan dan kadang kala menjadi satu kebanggaan bagi sesetengah orang sebagai simbol 'moden dan maju', tercipta selepas kejatuhan empayar Islam Andalusia (Sepanyol)? "Croissant'" dalam bahasa Perancisnya atau "Crescent" dalam bahasa Inggerisnya yang bermakna Bulan Sabit dalam bahasa Melayu. Ianya dicipta oleh Chef-Chef Perancis bagi menandakan kejatuhan empayar Islam, simboliknya dengan memakan 'bulan sabit' tersebut yang merupakan lambang atau simbol Islam itu sendiri.
kata-kata orang tua dulu yang berbunyi 'makan boleh sebarang makan tapi cakap jangan sebarang cakap' perlu diperhatikan semula. Kerana sebenarnya makan pun bukan boleh sebarang makan, kerana 'kita adalah apa yang kita makan' dan Nabi SAW juga berkata penyakit itu berpunca daripada perut. Jadi kita perlu tahu apa yang kita sumbat ke dalam perut......wallahu'alam