There was an error in this gadget

Friday, July 31, 2009

Fotografi................

Semenjak mengajar matapelajaran Seni Hias Makanan - Food Styling, aku mula berjinak-jinak dengan kamera. Rupanya bukan senang untuk memahirkan diri dengan kamera ini. Seseorang itu perlu mempunyai daya kreativiti yang tinggi bagi merakam gambar yang menarik. Memandangkan matapelajaran Seni Hias Makanan ini berkait rapat dengan fotografi, jadi rasanya tidaklah menjadi sesuatu yang merugikan untuk melabur bagi mendapatkan kamera DSLR yang agak baik dari segi ciri dan hasilnya. Setelah membuat beberapa perbandingan disertai dengan kemampuan kewangan, aku pun membeli sebuah kamera DSLR, jenama Canon model 40D. Selain daripada merakamkan gambar-gambar makanan dan hidangan bagi matapelajaran Seni Hias Makanan, aku cuba-cuba jugalah merakamkan gambar-gambar lanskap sebagai satu latihan dan koleksi. Nak pergi kelas belajar asas fotografi masa agak terbatas dan tak berkesempatan, jadi baca-baca buku forografi yang patut-patut bagi mendapatkan sedikit ilmu dalam bidang fotografi. Di bawah ini disertakan gambar yang aku rakamkan semasa ke Pantai Kelanang.

Jeti Nelayan Pantai Kelanang


Sebuah Restoran China di Pantai Jugra

Deretan bot nelayan kecil di pantai jugra





Wednesday, July 29, 2009

Tiba, tiba teringat pula.............

Bila bercerita tentang perkhidmatan pelanggan ini ianya merangkumi semua sektor baik kerajaan mahupun swasta. Ini kerana yang terlibat dalam hal ini berhubung dengan manusia. Semua orang mahukan yang terbaik, lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan diri kita sendiri. Ini mengenai salah satu peristiwa yang aku alami tentang urusan dengan pejabat kerajaan. Untuk lebih jelas tentang Jabatan Polis. Peristiwa ini berlaku agak lama dulu, kalau tidak silap pada tahun 1994, masa tu aku memiliki sebuah kereta Ford Laser S, nombor pendaftaran BCS1081. Tidak semena-mena aku terima surat saman ekor. Terkejut juga bila terima surat berdaftar dari Jabatan Polis, bila buka surat itu tengok saman ke atas kenderaan bernombor pendaftaran sama dengan kereta aku. Kesalahan yang dilakukan di hadapan pasar Semenyih. Termenung sekejap aku, seingat-ingat tidak pula aku pernah ke sana dalam tempoh tersebut. Bila aku baca terus, jenis kesalahan yang dilakukan tidak memakai topi keledar dan jenis kenderaan adalah motosikalbernombor pendaftaran yang sama. Apa yang peliknya macamana pulak boleh sama dengan nombor pendaftaran kereta aku. Apapun aku rasa aku kena buat sesuatu sebab surat itu di alamatkan ke alamat aku. Jadi kenalah usaha sikit, tulis surat lengkap dengan bukti salinan surat pendaftaran kereta kepada Jabatan Polis yang mengeluarkan saman tersebut dan di "s.s."kan ke Pejabat JPJ Petaling Jaya.

Kemudian daripada itu aku terima surat jawapan dari pihak polis. Apa yang memeranjatkan atau terkedunya aku adalah surat tersebut merupakan surat "standard" yang mempunyai ruang untuk di tandakan ( / ) - 'check', iaitu bagi kesalahan yang pertama adalah dimaafkan. Aiiik bila masa aku buat kesalahan. Bayangkan jika anda dapat jawapan sebegitu sedangkan anda tidak membuat sebarang kesalahan. Memanglah surat 'standard' tu dah sedia ada tapi sekurang-kurangnya ambillah sedikit inisiatif untuk 'personalize'kan surat tersebut. Hal-hal sebeginilah yang memberikan persepsi yang negatif kepada perkhidmatan pelanggan. Kadang-kadang kita kena letakkan hati kita pada tugas yang kita jalankan. Memanglah ada 'SOP' tertentu dalam menjalankan tugas tapi apa salahnya kalau kita memberikan lebih pada yang sepatutnya. Yang ini kita tak boleh bagi orang lain fikir, ini kita kena fikir sendiri.

Tuesday, July 28, 2009

Mee Udang oh Mee Udang

Balik dari memancing di kolam pancing Jugra, yang sebenarnya terletak kat Kg Bandar, ianya berdekatan dengan Istana Bandar - Istana Sultan Abdul Samad dan Masjid Sultan Alaeddin, kita orang berempat singgah makan mee udang. Dah terlanjur cerita pasal pancing ni elok juga aku cerita sikit pasal kolam pancing ni. Kolam pancing ni kira okaylah boleh bagi "thumb up" sebab dari segi perkhidmatan pelanggannya boleh puji. Bukanlah nak kata kemudahan yang ada bertaraf lima bintang tetapi layanan kakitangannya yang mesra dan berbudi bahasa. Tetapi yang hendak diceritakan bukan pasal kolam pancing ni tapi tentang tempat makan Mee Udang yang terletak di pekan Telok Panglima Garang, tempat makan yang kira baru jugalah adalah dalam tempoh lima bulan kot. Lihat pada papan iklannya, mee udanglah yang menjadi taruhan pengusah tempat makan ini. Jadi kta orang berempat pun apalagi pesan mee udanglah lagipun perut dah berkeroncong. Tempat makan ini taklah menawarkan menu yang bermacam - Laksa, Mee Kari, Cucur Udang, Lempeng dan termasuklah mee udang. Pada jangkaan kami tentulah perkhidmatannya cepat tetapi malang sungguh agak lambat. Makanan tiba setelah menunggu hampir 30minit dan air pula tiba lagi lewat daripada itu. Sayang sungguh tahap perkhidmatan yang agak lembab, sedang pelanggan yang tiba pada waktu itu agak ramai juga. Tentu juga ramai yang merungut dan mungkin ramai juga terpaksa membatalkan niat untuk berkunjung semula ke tempat ini.................entahlah kan rugi jadinya. Aku sempat memberikan komen pada tuanpunya tempat makan ini "kena jaga pelanggan kalau tidak pelanggan tak datang lagi, tengok-tengok sikit servis tu. Harap-harap dia terimalah dengan hati yang terbuka.

Friday, July 17, 2009

Aku Budak Jual Kuih

Tak tahulah tiba-tiba aku terkenang masa aku berumur 9tahun masa tu darjah tiga kalau tidak silap tahun 1971, aku bersekolah di Methodist English School, Port Swettehnham nama lama Port Kelang. Balik dari sekolah aku bagitahu kat emak mintak dia buat kuih aku nak jual keliling kampong. Kenapa nak jual? tanya emak pada aku. Aku tak menceritakan perkara yang sebenar cuma bagitahu emak aku nak belajar berniaga sambil boleh tolong keluarga. Sebenarnya yang membuat aku terasa bersemangat nak cari duit ni pasal pagi tu Cikgu kelas tanya tentang yuran persekolahan yang masih lagi belum dibayar. Seingat aku, selang beberapa hari emak pun membuat kuih untuk aku buat jualan. Kuih pertama dan satu-satunya pada hari permulaan aku menjual kuih adalah kuih karipap. Tak pula aku ingat berapa banyak yang emak buat tapi sebakul jugaklah aku mengangkatnya. Buat pertama kalinya aku pun pusing blok perumahan berdekatan di kampung tumpah darah aku, Kampung Raja Uda - KRU. Berjalan pelahan sambil mengharapkan orang kampung memanggil dan membeli kuih. Tidak beberapa minit aku sudah berada di jalan dihadapan rumah. Emak berdiri di tangga sambil bertanya, "Ada orang beli ke?" tanya emak. Aku mengelengkan kepala, lalu emak berkata, "Jangan diam aje, teriaklah sikit, bagi orang tahu kita jual kuih", kata emak lagi. Macamana emak? tanya ku. Jeritlah ..........Kuuuiiiiih Kaaaaariiiiipap, tunjuk emak. DaniItulah pertama kalinya juga aku belajar mengenai pemasaran....................kena jadi macam ayam betina telor sebiji riuh sekampung, bagi tahu semua orang apa yang kita ada kalau hendak lariskan. jualan...............................Pheeeew satu pengalaman yang tidak aku boleh lupakan, aku menjaja kuih ni sehingga waktu aku hampir menduduki peperiksaan LCE - Lower Certificate of Education, tingkatan tiga.....Masih aku ingat lagi.......................