Agak lama tidak menulis di dalam blog ini, aku boleh beri berbagai alasan tapi alasan yang paling 'betul' kemalasan yang memanjang. Okay kali ini aku masih lagi ingin bercerita mengenai perkhidmatan makanan di restoran. Mungkin kita sering menghadapi situasi yang negatif semasa menerima layanan di restoran. Tetapi kerana kecekapan dan kemesraan kakitangan restoran tersebut situasi yang negatif tadi menjadi positif. Di sini aku ingin menceritakan mengenai 2 pengalaman yang berbeza.
Pertama mengenai bagaimana situasi yang negatif ditangani secara tidak professional dan menjadikannya bertambah negatif.
Pernah seketika dahulu aku dan isteri makan di sebuah restoran makanan segera yang terkenal dengan minuman rot birnya. Pelayan masa itu mengesyorkan aku untuk mencuba menu promosinya iaitu Curry Rice. Aku terus bersetuju manakala isteri aku memesan Burger seperti kebiasaannya. Betullah kata Zubir Ali dalam lagunya Pernantian "Pernantian satu seksa yang tidak tertanggung"........................isteri aku telah habis menjamu hidangannya namun hidangan yang aku pesan masih lagi tidak sampai. Setelah hampir lebih 30 minit barulah hidangan yang dipesan sampai. Tetapi yang menghampakan hidangan tersebut betul-betul sejuk................nasi yang dihidangkan bersuhu sejuk seolah-olah baru dikeluarkan daripada peti sejuk (lebih sejuk daripada nasi sejuk semalam). Aku memanggil pelayan itu kembali dan menyatakan tentang suhu nasi tersebut dan meminta dia memanggilkan penyelianya. Agak lama selepas itu pelayan berkenaan masuk ke dalam, dia kemudiannya keluar dan menyatakan penyelia tidak ada. Yang sedihnya tidak sepatah perkataan untuk meminta maaf atau cuba membaiki keadaan. Disebabkan perut yang lapar dan berkeroncongan aku terus membaham hidangan tersebut walaupun terasa seperti memakan nasi semalam yang sejuk dan kesat. Sejak itu aku langsung tidak berkunjung ke restoran tersebut.
Situasi kedua pula mengenai bagaimana situasi negatif ditangani dengan cara professional dan servis yang mesra telah bertukar menjadi positif. Ceritanya begini, baru-baru ini aku dan isteri keluar untuk membeli belah disebuah pasaraya besar di Kota Kemuning yang baru dibuka. Kemudian kami singgah disebuah restoran di pasaraya tersebut untuk makan malam. Aku memesan Roti Bakar dengan Telor Setengah Masak, manakala isteri pula memedan Lamb Chop with Black Pepper Sauce. Syabas dan tahniah hidangan yang aku pesan bagaikan datang sekelip mata. Setelah habis aku menjamu selera hidangan yang dipesan oleh isteri masih lagi tidak sampai. 20 minit berlalu tidak nampak apa-apa tanda hidangan untuk sampai sedangkan masa itu di dalam restoran tidak ramai tetamu. Aku lalu memanggil seorang pelanggan bertanyakan tentang pesanan hidangan tersebut. Malangnya pelayan yang mengambil pesanan tadi telah terlupa untuk memasukkan pesanan isteri aku. Kemudian aku melihat penyelia restoran tersebut memanggil pelayan yang mengambil pesanan dan berkata sesuatu, nampak sungguh serius. Selepas daripada itu pelayan terbabit terus berjalan menuju ke meja kami, dengan penuh rendah diri dan bersopan beliau memohon maaf di atas kecuaian beliau. Terasa sejuk hati yang tadi panas menunggu hidangan yang tidak kunjung tiba. Kemesraan dan kesopanan yang ditunjukkan dapat mengubat hati lalu menukar situasi yang negatif kepada positif. Aku pasti akan berkunjung kembali ke restoran ini bukan kerana hidangannya yang lazat dan enak tetapi kerana kemesraan perkhidmatan pelanggannya.
Formula bagi perkhidmatan pelanggan yang baik adalah mudah tanpa perlu mengeluarkan modal yang tinggi, cuma perlu ada kesopanan dan kemesraan yang kadang kalanya tidak boleh dinilai dengan wang ringgit tapi cukup menyejukkan hati.