Bila teringat tentang temasya sukan atau hari sukan sekolah ini teringat aku tentang pengalaman menjadi wakil sekolah ke Pertandingan Sukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelang pada tahun 1974. Kiranya dulu dulu ni aku masuk dalam kategori 'sportman' jugak cama bakat itu tidak dikembangkan keperingkat sekolah menengah dan seterusnya. Dalam bab sukan ni aku bukanlah ahli sukan serba boleh..............bola sepak, bola tampar dan seumpama dengannya bukan sukan yang aku masuk. Aku bergiat dalam sukan lumba lari. Dalam ketegori lumba lari pun bukan semua kategori. Kategori yang aku masuk adalah acara pecut 100 meter.
Masa kat sekolah rendah dulu aku yang berumah merah selalu mewakili kategori lari 100m pecut pada setiap tahun sehinggalah ke darjah enam. Kalau tak silap akulah, masa darjah 6 dulu catatan masa yang aku buat bagi kategori lari pecut 100m ini dalam kalau tak silap 13.15 saat. Rasanya masa itu, ada lagi rakan-rakan lain yang membuat catatan yang lebih pantas. Tetapi tidak tahu sebab apa aku telah dipilih untuk saringan latihan untuk mewakili sekolah ke MSSK ketika itu. Cikgu yang bertanggung jawab untuk sukan masa tu yang kami gelar sebagai 'Sport Master' adalah Cikgu Muniandy, secara kebetulan juga beliau merupakan Cikgu bagi Rumah Merah. Mungkin beliau melihat potensi aku ada dalam acara 100m ini, lalu beliau menyuruh aku datang setiap petang untuk membuat latihan bagi acara pecut sebagai salah satu syarat untuk pemilihan mewakili sekolah. Malangnya aku tidak pasti boleh datang untuk latihan. Tetapi hal ini tidak aku maklumkan kepada Cikgu Muniandy. Alasan untuk tidak dapat datang latihan petang adalah kerana setiap petang selepas mengaji quran aku akan menjual kuih keliling kampong untuk mencari duit bagi menolong keluarga menampung kehidupan. Tak tahu pasal apa aku tidak bagi tahu Cikgu Muniandy mengenai hal ini? Mungkin juga pada ketika itu menjadi budaya untuk tidak membantah atau menjawab suruhan cikgu, maka aku diamkan aje. Keesokan selepas sehari sepatutnya aku kena hadir untuk latihan petang, awal-awal pagi lagi Cikgu muniandy telah datang ke kelas untuk mencari aku.
"Mana Ali?" jerkah Cikgu Muniandy kepada kelas 6B. Aku bangun dan berjalan ke hadapan. Piiiiiang satu das penampar kena kemuka aku. "Pasal apa tidak hadir semalam petang untuk latihan larian, saya sudah tunggu takder datang?" Jerkah Cikgu Muniandy lagi. Keseluruhan kelas terdiam, aku cuma menundukkan muka, selain daripada menahan kesakitan, air mata telah bercucuran. Aku tidak menjawab cuma diam sahaja. Cikgu Muniandy mengulangi lagi soalan. Tertiba terdengar suara kawan aku, aku tidak pasti siapa samada Mohamad atau pun Zainal atau mungkin jugak Johan atau Aziz, memberitahu Cikgu Muniandy "Cikgu, Ali hari-hari petang dia jual kueh". Memang semua kawan-kawan aku tahu aku menjual kuih keliling kampong setiap petang. Bukan itu sahaja kadang-kadang kat sekolah juga aku ada buat jualan. emak aku rajin buat kacang kuda rebus disira dengan kari serta cili kering......memang sedap (tertiba terasa macam nak makan kacang kuda rebus pulak). Cikgu Muniandy terdiam sebentar agak lama juga, kemudian berkata, "Kenapa tidak bagi tahu saya kamu tidak boleh hadir, penat saya tunggu? Kalau macam itu esok kamu datang awal supaya kita boleh buat latihan larian sebelum masuk kelas" sambung Cikgu Muniandy. Aku cuma mampu mengangguk, terasa malu untuk mengangkatkan kepala takut kawan-kawan nampak air mata aku meleler di pipi. Sebelum beredar, Cikgu Muniandy sempat berkata dalam nada suara yang pelahan "Kalau sekarang kamu sudah boleh menjual kuih harap-harap masa akan datang kamu boleh buat perniagaan yang lagi besar". Tapi masa itu aku bukan tahu apa sangat, tidak langsung ambilkira atau terfikir dua kali tentang kenyataan Cikgu Muniandy itu.......................maka kenyataan itu cuma tinggal kenyataan.................
No comments:
Post a Comment