Sunday, April 7, 2013

Karipap dan Kueh Keria

Hari pertama aku mula menjual kueh merupakan pengalaman yang tidak boleh aku lupakan. Maklumlah inilah pertama kali aku berkecimpung dalam dunia berniaga ni. Bukan ada pengalaman pun, cuma yang ada melalui pemerhatian - tengok macamana orang jual kueh. Masa tu kat kampung aku tinggal ni......................,, lupa pulak nak bagi tahu nama kampung aku ni. Nama kampung aku ni "Kampung Raja Uda" ataupun dikenali dengan nama singkatan KRU (mungkin kumpulan KRU mengambil namanya sempena kampung ni kot). Walaupun namanya kampung, ianya bukanlah seperti mungkin sesetengah orang gambarkan. Ianya lebih seperti kampung perumahan tersusun. Jenis rumah sebiji-sebiji berdekatan antara satu sama lain dengan keluasan tapak rumah 60'X90'. Pada masa dulu kebanyakan rumah hampir sama dari segi rekabentuknya. Ada yang dipanggil kotak mancis dan ada yang dipanggil bentuk kapal terbang atau '+'. Sekarang ni rumah bentuk asal dah tidak ada lagi. Kebanyakan rumah dan boleh dikategorikan sebagai banglo. Kalau ikut cerita Baba (bapa) harga rumah tu semasa 1960 dalam RM1,500.00 - RM2,000.00 hutang. Mungkin sekrang ini ada yang merasakan ianya terlalu jauh murah harganya. Tetapi waktu itu untuk kebanyakan keluarga Melayu untuk mendapatkan 'wang' sejumlah itu bukan perkara yang mudah. Agaknya waktu itu telah ujud golongan Melayu yang 'miskin bandar'. Okay, sambung balik pasal cerita kampung aku.............masa itu terdapat tiga orang kot yang aku ingat berkecimpung dalam menjaja kueh ni. Seorang itu orang yang agak berumur, kami panggil Tok Noh Kueh........dia ni menjaja kueh menggunakan basikal dengan memicit 'hon' dibasikalnya. Seorang lagi kawan sekampung aku yang dua tahun lebih tua dari aku iaitu Ghani Tikus atau sekarang ni lebih dikenali dengan Ghani Kudung (kesan digilis dengan keretapi - untuk makluman kawasan kampung ini di bahagian belakangnya terletak landasan keretapi yang menghubungkan Pelabuhan Kelang dan Kelang. Lintasan keretapi ini memisahkan Kampung Raja Uda dengan Kampung Sungai Sireh). Seorang lagi yang menjaja kueh ini juga merupakan kawan sekampung, nama dia Nordin Tiger atau biasanya kalau orang kampung aku panggil Nodin Tiger (bunyi 'R'nya tersembunyi).
Oh, ya, hari pertama menjaja kueh ni Mak aku buat Kueh Karipap dan Kueh Keria atau kueh gelang atau sekarang ini ada yang panggil donut kampung. Bila cerita pasal kueh ini, kadang rasa rindu jugak dengan kueh yang Mak aku buat ini. Dulu kalau buat kueh karipap ni tak pakai ubi keledek, kami guna ubi kentang dimasak dengan kari yang secukupnya bau dan rasa sungguh menyelerakan. Manakala kalau buat kueh keria menggunakan ubi keledek, memang enak. Tapi sekarang payah nak dapat makan kueh keria yang sedap ni. Ramai yang jual kueh keria yang lebih tepung dari keledeknya...........Berbalik pada cerita hari pertama aku jual kueh. Dengan sebijik bakul ditangan yang diisi 30 biji karipap dan 30 biji kueh keria. Harga masa tu 5 sen sekeping. Kalau laku semua adalah dapat 3 hinggit. Iyalah meniaga kecik-kecik ni, manalah ambik kira 'pulangan ekonominya' atau titik pulang modal bagai. Habis kuat pun congak berapa banyak boleh dapat dengan beli 1 kilo tepung. Masa tu aku baru 10 tahun mana taunya kira-kira, kos makanan, untung rugi semua tu. Yang penting jual kueh dapat duit. Oh, ya masa tu sekati tepung dalam kalau tak silap 15 - 20 sen kot. Zaman tu tak pakai sistem metrik lagi, kita pakai kati, tahil, cupak, gantang dsbnya. Masa mula langkah keluar rumah bawak bakul ni aku tanya kat Mak nak buat macam mani. "Engkau tiaklah (teriak) kariiiipapppppppp, kuuuuehhhhh keeeeeriaaaaa" kata Mak dengan nada berlagu. Okaylah tu, akupun biasa tengok Ghani Tikus dan Nodin Tiger jual kuah. Dia orang pun buat macam tu juga kecuali Tok Noh Kueh dengan hon picitnya.
"Kariiiiiiiiipapppppppp, Kuuuuuuehhhh Keeeeeeriaaaaaaa" teriak aku. Mula-mula tu memang malu tapi sebabkan keinginan dan aku jugak yang mintak emak untuk buat kueh dijual, maka aku buang malu jauh-jauh. Nak dipendekkan cerita, Alhamdulillah, hari pertama ianya bermula dengan baik. Habis kesemua 60 bijik kueh terjual. Korang memang tak faham bagaimana perasaan apabila jualan habis dibeli pelanggan. Rasa macam 'top of the world'. Hari itu jugalah merupakan hari pertama aku dapat pegang duit yang banyak 3 ringgit.................banyak tu. Agaknya kalau dinilaikan dengan duit sekarang lebih 10 kali ganda....macam 50 hinggit kot. Sampai ke rumah akau dengan tersenyum lebar bagi duit jualan kepada emak. "Macam ni esok boleh tambah kueh lagi untuk jual" kata Mak sambil menyambut duit kueh dari aku. Iaya la, dalam hati aku berkata "Kena jual lebih sikit, kalau 3 ringgit ni mana nak cukup nak bayar yuran sekolah". Emak mengambil siling sejumlah 30 sen dan beri kat aku, "Ini untuk engkau, upah jual kueh" kata Mak. Pfeeeehw.....banyak tu, boleh belanja ni. Duit belanja sekolah pun dapat dalam 10 sen aje.  10 sen yang dapat tu pun selalunya aku masuk dalam poket dan ikat dengan getah supaya tidak tercicir. Kalau tercicir alamatnya .......minum air bukan pepsi cola tapi paip sekolahlah jawabnya. Perkara pertama yang terlintas dalam kepala aku masa tu adalah 'makan'. Otak kanak-kanak aku teringatkan cucur udang Mak Lembek (ini nama dia betul bukan gelaran orang kampung) yang membuka warung kat Jalan Siantan kampung aku. Biasanya kalau aku melalui jalan ini ke rumah Mak Ngah (kakak Mak aku) pasti melintas di hadapan Gerai Mak Lembek. Aroma cucur udangnya memang menusuk lobang hidung dan mampu membuat perut berkeroncong. Lebih-lebih lagi perut yang selalu mengenal lapar dan jauh daripada kenyang. Cucur udang Mak Lembek memang 'super' tak ada yang setanding dengannya. Sepanjang aku dah hidup lebih setengah abad ni belum lagi aku jumpa cucur udang seperti Mak Lembak punya. Cucur udang sekarang banyak pakai yir atau baking powder, kembang semacam dan berminyak. Apa lagi berlarilah aku ke gerai Mak Lembek. "Kak Bibik cucur udang dua, air sirap satu, makan sini" kata aku kepada Kak Bibik (Kak Bibik ini anak Mak Lembek yang selalu menolongnya di gerai. "Ooooiii, makan besau Ali? Banyak duit" terdengar suara Pak Atan (suami Mak Lembek yang kadang-kadang menolong di gerai tersebut, sergahnya. Ialah, mana mungkin aku mampu untuk makan di gerai ni kalau lihat dari latar belakang keluarga. Cucur udang duit biji dan segelas air sirap sudah 15 sen, bagi taraf kami waktu itu sudah kira mahal. "Saya dapat upah jual kueh emak buat" kata ku dengan nada gembira..................."Bagus-bagus, kecik-kecik dah pandai carik duit" balas Pak Atan. Hari itu merupakan hari yang paling gembira bagi aku kerana berjaya menjual kueh dan dapat makan sedap. Iyalah apalah yang di idamkan sangat bagi aku selain dari dapat makanan yang sedap. .....................

No comments: