Masyarakat
orang asli di Semenanjung Malaysia terdiri daripada tiga kelompok besar atau
utama terdiri daripada tiga kumpulan kaum iaitu Negrito, Senoi dan
Melayu-Proto. Masyarakat ini bertaraf bumiputra dan merupakan kelompok minoriti
yang masih lagi terpinggir dari kelompok arus perdana walaupun ada banyak usaha yang dilakukan oleh pihak berwajib. Bilangan populasi masyarakat orang
asli ini adalah sekitar 141,230 orang atau cuma 0.5% dari jumlah penduduk
Malaysia (JHEOA).
Masyarakat
orang asli yang dikatakan terpinggir ini seringkali menjadi tarikan bagi kajian
penyelidikan etnografi dan sosiologi dari sudut budaya, adat resam, ekonomi,
pendidikan dan sebagainya. Walaubagaimanapun didapati literatur sedia ada tidak
banyak menyebut aspek pemakanan orang asli.Sepertimana yang diketahui umum
rata-rata masyarakat orang asli ini amat bergantung kepada sumber semulajadi.
Namun dengan perkembangan pesat dan modenisasi yang berlaku di Malaysia,
sedikit sebanyak memberikan kesan kepada masyarakat orang asli. Usaha kerajaan
dalam memberikan pendidikan dan menyediakan pasarana bagi memastikan masyarakat
orang asli tidak lagi hidup berpindah randah dan terpinggir dari arus
pembangunan perdana sudah pasti akan memberikan kesan langsung dan tidak
langsung kepada masyarakat ini. Pembinaan penempatan baru yang berhampiran
dengan kemudahan asas moden sudah tentu juga akan memberikan kesan dan
pengaruhnya yang tersendiri. Persoalan yang mengatakan bahawa masyarakat orang
asli ini seolah-olah dibayangi di antara dua dunia (dunia moden dan dunia
tradisi nenek moyang yang banyak bergantung kepada sumber alam) merupakan
sesuatu yang amat menarik untuk diketahui kebenarannya. Tanggapan ini sudah
pasti akan menimbulkan berbagai persoalan mengenai bagaimana orang asli
mengimbangi dan menjalani kehidupan mereka seharian lebih-lebih lagi apabila
berada di tempat yang ‘asing lagi baru’ bagi mereka? Adakah aktiviti harian
etnik ini juga akan dipengaruhi oleh kedua-dua ‘dunia’ yang dinyatakan tadi. Bagaimana
pula segi pemakanan sudah pasti akan
berlaku perubahan serta pengaruh terhadap etnik ini seperti yang dinyatakan
iaitu moden dan tradisi?
Adalah
difahamkan bahawa setiap budaya di dalam dunia ini mempunyai sistem makanan dengan
coraknya yang tersendiri. Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa
apabila identiti sesuatu kaum itu merupakan perkara paling pokok atau teras
bagi sesuatu kaum, maka makanan akan di’pulihkan’ (revive) (Douglas, 1984). Selain daripada itu setiap sesuatu
masyarakat itu mempunyai tanggapan yang berbeza mengenai amalan dan norma yang
bersangkutan dengan makanan. Kajian mengenai pengambilan (consumption) makanan
akan memberikan petunjuk dalam asas mengenal pasti perubahan yang berlaku
semasa proses akulturasi.(Douglas, 1984; Mennell et all, 1992; Murcott, 1983
dan 1998). Sementara itu pengambilan makanan juga dianggap sebagai suatu
ekspressi sipemakan mengenai diri mereka sendiri (Ahmad Jamal, 1998). Maka
benarlah penyataan yang berbunyi “anda
adalah apa yang anda makan” – justeru, gaya hidup sesuatu kaum itu dapat
difahami dengan menerokai tabiat makanan.
Di
samping itu proses penghijrahan mempunyai kesan dan peranannya yang tersendiri
bila dikaitkan dengan makanan. Makanan didapati merupakan salah satu elemen
yang terakhir yang akan mengalami perubahan bagi sesuatu kaum itu apabila
berlaku penghjrahan (Mennel, et.al, 1992; Murcott, 1983). Selain daripada itu,
proses penghijrahan akan juga mengakibatkan
assimilisasi budaya. Maka makanan juga tidak dapat dinafikan akan melalui
proses assimilisasi ini. Assimilisasi makanan ini akan semestinya memberikan
kesannya yang tersendiri. Pada kebiasaannya dari perspektif assimilisasi ini cuma
pendatang sahaja yang perlu ‘memeluk budaya baru’ iaitu budaya ‘tuan rumah’
dengan terpaksa mengadaikan budaya tradisi mereka (Ahmad Jamal, 1996). Justeru
itu pendatang terpaksa meninggalkan budaya asal mereka samada rela atau tidak.
Berbalik kepada masyarakat orang asli yang telah dipindahkan ke kawasan yang baru sudah tentu sekali akan memberikan kesan kepada cara hidup dan pemakanan mereka. Umum tahu masyarakat orang asli ini termasuk dalam kelumpuk pengumpul. Diet atau pemakanan mereka banyak bergantung kepada alam persekitaran. Sudah tentu sekali kawasan persekitaran baru di mana mereka ditempatkan akan memberikan kesan yang langsung kepada diet mereka.
Kita yang dikatakan sebagai masyarakat moden mungkin merasakan bahawa perkara terbaik bagi kumpulan orang asli ini adalah dengan membawa mereka dekat kepada dunia moden. Tetapi persoalannya adakah itu satu langkah yang baik kepada mereka? Adakah dengan cara menempatkan mereka ke kawasan yang lebih dekat dengan kemudahan asas benar benar membantu mereka?. Kemungkinan besar apa yang berlaku adalah kita telah terperangkap dengan tanggapan kita sendiri lantaran itu tidak tanduk kita tanpa kita sedari telah 'mencemari' kemurnian hidup kumpulan ini. Justeru itu kita perlu lihat kembali kebelakang...........berhenti sebentar.........berfikir........dan menganalisa semula apakah langkah yang terbaik bagi golongan ini. Pihak yang berkenaan dan berwajib perlu mempunyai kotak fikir yang berbeza dari sebelum ini terutama telah hampir 60 tahun kita merdeka peratusan kejayaan program yang kita jalankan tidak berada pada tahap yang memuaskan malah mengecewakan. Kenapa ini berlalku kerana kita menggunakan kayu ukur yang sama dengan pencapaian kita sedangkan ukuran pencapaian bagi masyarakat ini adalah berbeza.
Mungkin dengan membiarkan mereka dengan dalam dunia kehidupan mereka yang 'selesa' adalah lebih baik untuk mereka dan kita perlu menyokong mereka untuk itu.
No comments:
Post a Comment