Lama jugak tak menjenguk ke blog ni. Diam tak diam dah masuk bulan September dan dah 10 hari berpuasa. Sibuk tu memanglah sibuk tapi kekadang mood untuk menulis pun satu faktor jugak.
Okaylah memandangkan kita di bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkahan ini, nak cerita sikit tentang hal-hal semasa Ramadhan. Memang menjadi satu kebiasaan bagi aku setiap kali bulan puasa, aku pastikan, aku akan menyediakan hidangan berbuka puasa untuk keluarga. Ini untuk memastikan anak-anak benar-benar makan, makanan yang betul-betul dinamakan makanan. Anak-anak ni kalau dibiarkan ikut selera dia orang atau dibiarkan untuk ke Bazar Ramadhan, tentu beli makanan yang merapu. Atau akhirnya akan menyebabkan pembaziran.
Cerita tentang berniaga di bulan Ramadhan, tentu kita biasa dengar macam-macam cerita. Dari yang positif ke yang negatif. Sudah tentu sekali cerita yang sensasinya adalah yang negatif. Sepanjang tempoh 10 hari ni baru sekalilah aku menjenguk ke Bazar Ramadhan. Bazar Ramadhan Port Garden berdekatan dengan Kampong Raja Uda, kampong kelahiran dan aku membesar. Itupun secara kebetulan sahaja, pasal ahad lepas ada kerja sikit di sana. Phew.... nampaknya meriah sungguh suasana Bazar Ramadhan kat sini, rasanya tak serupa macam tahun lepas. Lebih ramai orang berniaga dan ramai juga yang berkunjung (termasuklah aku dengan isteri). Hairan juga dalam keadaan barangan mahal ni ramai jugak orang yang masih lagi mampu berbelanja. Dilihatkan pada setiap pengunjung yang datang, masing-masing nampak berat kiri dan kanan mereka mengusung juadah untuk berbuka.
Aku, kalau dah terlepas ke Bazar Ramadhan Port Garden ni, tentu tak lengkap kalau tak melawat Gerai Mak Minah (Amizai Restoran - dulu ada restoran ni kat Port Kelang, sekarang ni dah lama tak ujud) - Apa yang menariknya gerai ni ialah masakan kari Ala Penang - dari Daging Kari, Masak Itam, Ayam Pandan, Sambal Sotong, Kari Ikan semuanya aku rasa sesuai sangat dengan selera aku. Tapi yang paling penting aku memang sudah sedia maklum tentang kualiti dan rasa masakannya. Dalam banyak-banyak hidangan aku paling gemar - Hati Masak Rempah (yang ni setahun sekali aje aku makan terutama sekali bulan puasa aje). Memang kat Bazar Ramadhan ni ada bermacam-macam juadah orang jual. Ada yang lauk pauknya sepanjang meja berderet-deret, sampai tak tau nak pilih. Tapi aku senang aje, pilihlah yang biasa yang tak akan mengecewakan.
Akhir sekali bagi aku yang paling penting dalam petua dalam bulan Ramadhan ni berkenaan pilihan juadah berbuka puasa, adalah kalau boleh jangan pergi Bazar Ramadhan semasa perut kosong. Sebab bila perut kosong nafsu berkehendak tu agak tinggi, semua hendak dibeli. Kalau berkesempatan elok rasanya masak sendiri. Macam aku setiap kali Ramadhan aku pastikan aku akan masak untuk berbuka (itu pun sekiranya aku tak ada kuliah pada sebelah malam - kalau ada kuliah, makan nasi bungkus ajelah). Bagi anak-anak aku bagi syarat seminggu sekali aje boleh pegi Bazar Ramadhan dengan pesanan jangan beli untuk membazir dan rancang dulu apa yang hendak dibeli, pastikan apa yang ingin dibeli akan dimakan nanti. Memanglah kalau boleh aku tak nak anak-anak pergi Bazar Ramadhan, bukan apa kita kekadang yang tua ni pun bila ke Bazar Ramadhan pun tak dapat nak kawal nafsu - apa lagi bebudak. Ialah, kalau tak bagi pergi dia orang nanti ingat bapak dia orang ni tak faham perasaan pulak. Itu yang kompromi membenarkan seminggu sekali aje ke Bazar Ramadhan tu.
Bila perut kosong tengok apa pun sedap...... agaknya kalau selipar dicelup tepung kemudian digoreng garing-garing, kemudian dituangkan sos, pun akan nampak sedap. Sendiri mahu ingatlah.................puasa ke posa. Wallahua'lam
No comments:
Post a Comment