Melawat ke Bazar Ramadhan semasa bulan puasa ini bagaikan suatu kemestian bagi sesetengah orang, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk memasak juadah berbuka. Maka membeli belah untuk berbuka menjadi kemestian dan ada pula yang beranggapan bahawa ianya datang setahun sekali, jadi apa salahnya kita berbelanja. Apapun alasan yang diberikan biarlah ianya bertepatan dengan 'roh' Ramadhan itu sendiri, bersederhana, berhemah agar ibadah Ramadhan kita diterima dan diredhai oleh ALLAH SWT.
Sudah menjadi kebiasaan kepada aku setiap Ramadhan, aku memastikan agar dapat memasak untuk keluarga. Kalau tidak sepanjang bulan tapi sekurang-kurangnya aku cuba menyediakan juadah berbuka sekerap dan semampu. Kunjungan ke Bazar Ramadhan merupakan pilihan terakhir. Aku sendiri tidak mengalakkan anak-anak untuk berkunjung ke sana. Itu semua mempunyai alasan yang tertentu. Kunjungan ke Bazar Ramadhan bagi aku banyak buruknya dari baik. Melihat juadah yang disediakan boleh meliurkan seseorang tentu itu sendiri tidak elok bagi 'roh' sebenar Ramadhan. Keduanya, dari pengalamanm didapati makanan yang disedia dan dijual di Bazar Ramadhan ini agak diragui dari segi kebersihan dan keselamatannya. Bayangkan mereka yang berniaga ini menyediakan makanan yang untuk dijual seawal pagi dan dihidang atau di tempatkan di tempat jualan seawal tengahari tentu sahaja 'kebersihan dan keselamatannya' dipersoalkan. Kejadian hidangan yang dibeli dari Bazar Ramadhan yang menjadi basi dan tidak dapat dimakan semasa berbuka sering kali kita dengar. Dalam hal ini siapakah yang harus dipersalahkan? Pelanggan mempunyai pilihan dan manakala perniaga pula mempunyai tanggungjawab. Menyempurnakan Ramadhan menjadi tanggungjawab kita semua. Ianya bukan sekadar untuk menahan lapar dan dahaga, ianya lebih daripada itu. Ramadhan merupakan 'madrasah' yang akan menyekolahkan kita sepanjang sebulan penuh. Ramadhan kali ini mungkin akan jadi lebih baik sekiranya kita mampu berfikir seketika merenung kembali kesempurnaan ibadah kita. Bukan sahaja ibadah-ibadah khusus malah yang bersifat umum atau bukan sahaja yang bersifat fardu a'in tapi merangkumi fardu kifayah.
Di bulan yang mulia ini kita sememangnya disarankan untuk memberi makan sekadar kemampuan kita walaupun sebutir kurma. Bayangkan perkara yang dianggap sesetengah orang itu kecil tetapi di sisi Allah SWT ianya merupakan suatu ibadah. Jadi rasanya tidak keterlaluan jika dapat disarankan kepada setiap individu muslim yang mempunyai peranan masing-masing dalam penyediaan makanan dapat merenung dan berfikir sejenak bagi memperbaiki ibadah kita. Jika memberi makan kepada orang yang berpuasa satu ibadah sudah tentu pekerjaan menyediakan juadah bagi mereka yang berpuasa juga ibadah. Justeru alangkah baiknya jika kita dapat sulamkan pekerjaan kita dan digarapkan dengan ibadah supaya segala perbuatan kita mendapat keberkahan dari Allah. Bagi mereka yang berpuasa dan perlu membeli belah untuk berbuka haruslah mempunyai sifat bersederhana dan berhemah dalam berbelanja dan jangan terikat kepada nafsu. Sementara bagi mereka yang berniaga harus dan semestinya memberikan perhatian yang lebih dari segi kebersihan dan keselamatan makanan yang disediakan bukan sekadar untuk mencari untung semata-mata. Marilah kita sama-sama memperbaiki ibadah kita di dalam bulan yang mulia ini, agar segala 'latihan' yang kita perolehi sepanjang berada di 'madrasah' Ramadhan ini dapat kita terjemahkan di bulan-bulan yang lain.
"Aku nak mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak - semuga Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun-tahun yang lepas -dan semuga dipanjangkan umur agar kita dapat bertemu di Ramadhan akan datang."