Showing posts with label kreatif. Show all posts
Showing posts with label kreatif. Show all posts

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan datang lagi......................

Alhamdulillah, ALLAH SWT telah memanjangkan umur kita agar dapat bertemu dengan Ramadhan dan menjadi tetamunya sekali lagi. Muga Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan yang paling baik dalam sepanjang hidup kita. Bila bercerita pasal Ramadhan tentu kita tidak lepas untuk bercerita tentang Bazar Ramadhan yang akan beroperasi di merata tempat. Maka 'terbit'lah berbagai juadah dan hidangan yang mengiurkan dan mempersonakan mata dan nafsu yang memandang.


Melawat ke Bazar Ramadhan semasa bulan puasa ini bagaikan suatu kemestian bagi sesetengah orang, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk memasak juadah berbuka. Maka membeli belah untuk berbuka menjadi kemestian dan ada pula yang beranggapan bahawa ianya datang setahun sekali, jadi apa salahnya kita berbelanja. Apapun alasan yang diberikan biarlah ianya bertepatan dengan 'roh' Ramadhan itu sendiri, bersederhana, berhemah agar ibadah Ramadhan kita diterima dan diredhai oleh ALLAH SWT.

Sudah menjadi kebiasaan kepada aku setiap Ramadhan, aku memastikan agar dapat memasak untuk keluarga. Kalau tidak sepanjang bulan tapi sekurang-kurangnya aku cuba menyediakan juadah berbuka sekerap dan semampu. Kunjungan ke Bazar Ramadhan merupakan pilihan terakhir. Aku sendiri tidak mengalakkan anak-anak untuk berkunjung ke sana. Itu semua mempunyai alasan yang tertentu. Kunjungan ke Bazar Ramadhan bagi aku banyak buruknya dari baik. Melihat juadah yang disediakan boleh meliurkan seseorang tentu itu sendiri tidak elok bagi 'roh' sebenar Ramadhan. Keduanya, dari pengalamanm didapati makanan yang disedia dan dijual di Bazar Ramadhan ini agak diragui dari segi kebersihan dan keselamatannya. Bayangkan mereka yang berniaga ini menyediakan makanan yang untuk dijual seawal pagi dan dihidang atau di tempatkan di tempat jualan seawal tengahari tentu sahaja 'kebersihan dan keselamatannya' dipersoalkan. Kejadian hidangan yang dibeli dari Bazar Ramadhan yang menjadi basi dan tidak dapat dimakan semasa berbuka sering kali kita dengar. Dalam hal ini siapakah yang harus dipersalahkan? Pelanggan mempunyai pilihan dan manakala perniaga pula mempunyai tanggungjawab. Menyempurnakan Ramadhan menjadi tanggungjawab kita semua. Ianya bukan sekadar untuk menahan lapar dan dahaga, ianya lebih daripada itu. Ramadhan merupakan 'madrasah' yang akan menyekolahkan kita sepanjang sebulan penuh. Ramadhan kali ini mungkin akan jadi lebih baik sekiranya kita mampu berfikir seketika merenung kembali kesempurnaan ibadah kita. Bukan sahaja ibadah-ibadah khusus malah yang bersifat umum atau bukan sahaja yang bersifat fardu a'in tapi merangkumi fardu kifayah.

Di bulan yang mulia ini kita sememangnya disarankan untuk memberi makan sekadar kemampuan kita walaupun sebutir kurma. Bayangkan perkara yang dianggap sesetengah orang itu kecil tetapi di sisi Allah SWT ianya merupakan suatu ibadah. Jadi rasanya tidak keterlaluan jika dapat disarankan kepada setiap individu muslim yang mempunyai peranan masing-masing dalam penyediaan makanan dapat merenung dan berfikir sejenak bagi memperbaiki ibadah kita. Jika memberi makan kepada orang yang berpuasa satu ibadah sudah tentu pekerjaan menyediakan juadah bagi mereka yang berpuasa juga ibadah. Justeru alangkah baiknya jika kita dapat sulamkan pekerjaan kita dan digarapkan dengan ibadah supaya segala perbuatan kita mendapat keberkahan dari Allah. Bagi mereka yang berpuasa dan perlu membeli belah untuk berbuka haruslah mempunyai sifat bersederhana dan berhemah dalam berbelanja dan jangan terikat kepada nafsu. Sementara bagi mereka yang berniaga harus dan semestinya memberikan perhatian yang lebih dari segi kebersihan dan keselamatan makanan yang disediakan bukan sekadar untuk mencari untung semata-mata. Marilah kita sama-sama memperbaiki ibadah kita di dalam bulan yang mulia ini, agar segala 'latihan' yang kita perolehi sepanjang berada di 'madrasah' Ramadhan ini dapat kita terjemahkan di bulan-bulan yang lain.

"Aku nak mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak - semuga Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun-tahun yang lepas -dan semuga dipanjangkan umur agar kita dapat bertemu di Ramadhan akan datang."

Monday, June 16, 2008

Minyak Naik ......... Makanan?

Puuuh, naik mencanak betul minyak ... kalau dibundarkan angkanya RM0.80, banyak tu. Terkesan jugak budget. Entahlah macamana 'the think tank' berfikir? Apa yang pastinya golongan yang tak punya kereta dan motosikal, mendapat kesan yang paling teruk. mana tidak gas memasak naik dan barang-barang keperluan lain pun naik jugak. Beras jangan dicakaplah dah lama naik. Kesian golongan yang berada dalam kategori ni. Golongan yang ada kereta dan motosikal dapat jugak rebet tunai, walaupun angkanya taklah banyak sangat.
Memanglah kita tak boleh nafikan, harga minyak di pasaran dunia melonjak. Jadi Malaysia pun terpaksalah menaikkan sama harga minyak di pasarannya. Tapi yang aku peliknya cara dia orang berfikir dan buat keputusan untuk beri rebet tunai (aku ni bukan pandai sangat bab ekonomi ni, mungkin dia orang lebih mengetahui). Entahlah tak faham aku!!! Rasanya, kalau rebet tunai tu diserapkan terus sebagai subsidi minyak taklah angka yang naik tu mencecah RM0.80, dan golongan yang pendapatan rendah pun dapat juga kebaikannya, barangkali tidak ramai orang yang akan terkejut beruk dibuatnya. Aku kalau dia orang tanya dah tentu akan merasionalkan begitu.

Baiklah bercerita pasal minyak naik ni, akan memberikan kesan langsung dan secara tidak langsung kepada banyak sektor, sektor perkhidmatan makanan tidak terkecuali. Gamaknya kalau dulu pelanggan yang berselera besar makan berbagai-bagai lauk, tentu sekarang ni harus berfikir panjang, kena berjimat. Bila ramai individu berhati-hati berbelanja terutama bab makan dan memilih tempat makan, akan memberikan kesan kepada perniagaan perkhidmatan makanan. Restoran-restoran mewah juga akan mengalami pengecutan permintaan, dan kena fikir untuk menawarkan harga yang lebih kompetitif bagi menarik pelanggan. Situasi begini dalam istilah ekonomi dipanggil "Squeeze Effect" (Kesan Pengecutan - terjemahan aku sendiri tanpa rujuk kamus). Dalam keadaan begini perniagaan perkhidmatan makanan perlu bersaing dan menawarkan produk dan perkhidmatan yang kompetitif dari segi harga untuk menarik pelanggan. Perniaga harus kreatif untuk menarik pelanggan. Terbaca di dalam surat khabar baru-baru ni, tentang seorang perniaga makanan di Kedah menawarkan pakej hidangan pada harga cuma RM2.00. Keesokan harinya gerainya diserbu orang ramai dan terpaksa ditutup lebih awal kerana kehabisan hidangan. Ramai yang dikatakan kecewa kerana tak dapat membeli dan menjamu selera. Inilah yang dikatakan kreatif dan innovatif dalam penetapan harga, lebih-lebih lagi dalam keadaan orang ramai masih dalam kejutan harga minyak naik.

Perniaga makanan lain patut mencontohi cara perniaga di Kedah ni. Memanglah kos barangan naik, tetapi perniaga perlu mencari cara untuk menawarkan hidangan makanan pada harga yang dirasakan murah oleh pelanggan. Saiz lauk boleh dikecilkan untuk mengurangkan kos, contoh ayam yang biasa dipotong dua belas mungkin boleh dipotong lapanbelas ( potong cara Mona Fendi), ikan kembong biasanya digoreng dan dijual sekor-sekor bolehlah dipotong dua dan dijual pada harga yang sedikit rendah. Banyak cara lagi yang boleh dilakukan. Restoran keluarga boleh menawarkan pakej hidangan untuk 4, 6 atau 8 orang dengan harga yang lebih murah. Misalnya jika kebiasaan nasi campur dengan satu lauk utama beserta sayur harganya RM5.50, pakej untuk 4 orang boleh mengandungi 2 jenis lauk beserta sayur dan air ditawarkan pada harga RM18.90.

Aku cuma memikirkan macamana cara untuk mengurangkan kos harian ..... rokok dah lama berhenti, masa minyak naik pertama kali dalam era pemerintahan Pak Lah. Ni minyak naik RM0.78 sen ni kena lah fikirkan apa pulak.???? ...... mungkin kena kerja kuat sikit kot....... Entahlah?....... itu aku kena fikir sendiri.