Thursday, March 28, 2013

Mak orang nak jual kueh............

Sampai aku kat rumah seperti biasa selepas meletakkan bag di bilik dan menukar pakaian. Aku ke bilik air membasuh muka dan tangan untuk makan. Tak ada apa sangat yang diharapkan, tiada ayam atau daging atau makanan mewah. Hari ini mak aku masak Ikan Bilis goreng bersama kicap, cili dan bawang. Sebenarnya bukan ikan bilis yang digoreng tapi kepala ikan bilis. Kepala ikan bilis ini biasanya diambil dari kedai Mamak yang berdekatan dengan rumah aku. Kebiasaannya Mamak Daud akan menyimpan seredak campuran kepala ikan bilis ini untuk kami kerana mak aku minta dia simpan untuk beri makan itik katanya. Bila banyak terkumpul Mamak Daud akan memberikan pada kami. Mak dengan sikap kreatifnya, disebabkan serba kekurangan menjadikan kepala ikan bilis sebagai menu makanan kami yang enak. Mungkin anak-anak sekarang tak pernah pun merasa macamana makan tanpa lauk, nasi panas bersama minyak ikan kering atau garam sudah menjadi kebiasaan. Selepas makan, solat dan terus bersiap untuk pergi mengaji dekat rumah Nek Aji. Sesampainya di laman rumah Nek Aji, terdengar suara Kak Jenab, menyuruh kami menyapu sampah di bawah rumah. Dulu kat kampung aku ni mengaji al Quran tak perlu bayar apa-apa. Cukup sekadar membantu tuan rumah mengemas rumah dan kerja-kerja rencam yang lainnya.
Sambil menyapu sampah, mata aku berlingas melihat sekeliling, tertiba mata aku terpandang juadah di atas meja di dapur Nek AJi. Phew.................jauh lebih menyelerakan. Masa tu lah terdetik difikirkan aku macamanalah nak dapat makan sedap-sedap ni. Aku kena cari duit bantu mak, tertiba aje ide ni menerjah kepala otak aku. Sambil teringatkan yuran sekolah yang perlu dijelaskan. Aku kena buat sesuatu untuk bantu keluarga supaya aku dapat bayar yuran sekolah dan jugak boleh jugak dapat makan sedap-sedap. Sepanjang masa mengaji Quran ni kepala aku sentiasa memikirkan perihal macamana nak carik duit.
Habis mengaji, aku berlari pulang..............................ide dah ada dalam kepala kerana sewaktu pulang aku bertembung dengan Ghani Kudung (masa tu dia belum kudung tangan kirinya hingga pangkal bahu sebab tergilis keretapi) sedang membawa bakul menjual kueh. Ehhh, mungkin aku boleh suruh mak buat kuih dan aku boleh jual keliling kampung. Aku tahu mak aku memang pandai buat kueh kerana tiap kali kalau dia buat kueh pasti habis kami adik beradik belasah. Lagipun kalau ada kenduri kendara mak aku selalunya ditugaskan untuk buat kueh. Sperkara lagi yang terlintas di kepala aku kalau berniaga kueh ni bagusnya kerana duit dapat makan pun dapat. Sesampainya ke rumah aku dengan semangat yang berkobar dan tak bersabar lagi terus mencari mak. Masa itu mak sedang berehat bebaring kat pangkin bawah pokok kuini di belakang rumah. "Mak" panggil aku......Mak menoleh memandang kepada aku "Ada apa?" katanya. "Mak pandai buat kueh kan? aku menarik nafas seketika. "Kalau Mak buat kueh, orang nak jual cari duit". " Bolehkan?" sambung aku lagi. "Orang mana!!!!" jergah mak aku. Kebiasaannya aku membahawakan diri aku dengan nama diri tetapi kekadang tersilap membahasakan dengan 'orang' ini memang kepantangan mak aku."ehh ehh ....Ali nak jual kueh" membetulkan cakapan ku. "Kenapa?" kata mak. "Boleh carik duit dan tolong tambah-tambah duit" jelas ku. Mak terdiam sebentar seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Agaknya dalam kepalanya memikirkan bagaimana untuk mencari modal untuk buat kueh. Itu aku tak pasti apa yang difikirkan tetapi kemudian mak berkata,"Bagus jugak boleh tambah-tambah untuk apa yang patut, kalau macam tu bila kau nak jual kueh." tanya mak pulak. "Esok pun boleh, lepas mengaji boleh terus jual", sambung ku. "Nanti, Ali minta izin pada Nek Aji untuk mengaji awal dan balik awal untuk jual kueh", tambah ku lagi.
Malam itu terasa lama untuk menanti menjelangnya esok..............................


Masa kecik-kecik dulu selalu berangan untuk dapat makan makanan yang sedap-sedap tetapi masa tu boleh berangan ajelah. Anak-anak sekarang beruntung, bila terasa hendak makan sesuatu cakap aje pada mak ayah, Insyaallah gerenti dapat. Kami masa kecil kalau nak makan ayam atau daging kena tunggu hari raya. Anak sekarang hari-hari makan daging dan ayam......................................perlu bersyukur.

Wednesday, March 27, 2013

Yuran Sekolah

Sesekali bila mengenangkan kisah lampau memang cukup menyentuh perasaan. Cuma mereka yang pernah melalui pahit getir kehidupan yang tahu bagaimana sussah senangnya kehidupan. Teringat masa aku di sekolah rendah. Waktu itu aku berada dalam darjah 4. Cikgu darjah membuat maklumat kepada murid-murid yang masih belum menjelaskan yuran sekolah untuk 'berdiri.' Aku antara tiaga murid yang berdiri kerana masih belum lagi menjelaskan yuran sekolah. Kalau dikenangkan waktu itu yuran cuma RM10 setahun bukan banyak pun. tetapi waktu itu RM10 benar-benar bernilai terutama bagi kami yang datang daripada keluarga yang kurang berada. Maklumlah bapak aku bekerja sebagai seorang buruh dengan pendapatan sebulan RM150, dengan bilangan anak seramai 12 orang serta tinggal berdekatan dengan bandar sudah tentok kos kehidupannya juga tinggi. Faktor-faktor ini menjadikan kehidupan kami sekeluarga bukan ditahap 'senang'. Keras suara Cikgu mengingatkan bahawa kami diberikan sehingga hujung bulan ini untuk menjelaskan yuran.Masa tu aku bersekolah di Methodist English School yang sebelum itu dikenali dengan nama Methodist Boy School, Port Swettenham nama lama Pelabuhan Kelang. Sekolah ini merupakan sekolah jenis 'Missionary' jadi ia tidak mendapat bantuan kerajaan. Salah satu hasil sekolah adalah melalui kutipan yuran murid. Aku melihat sekeliling bilik darjah memandang pada wajah-wajah rakan yang tersenyum 'mungkin' mereka tidak perlu risau tentang yuran sebab mereka dari kalangan keluarga yang agak senang. Cikgu memanggil nama aku sambil bersuara dengan agak tegas "Kamu, pastikan hujung bulan ini yuran dibayar, saya tidak mahu macam tahun lepas." Berdesing telinga aku bagaikan satu tamparan. memang tahun lepas cikgu darjah aku merupakan cikgu yang sama dengan tahun ini. 
Sekembali dari sekolah, tubuh kecil ini bagaikan menanggung satu bebenan berat di atas bahu dan kepala memikirkan bagaimana untuk membayar yuran sebelum hujung bulan. Aku sedia maklum bahawa untuk meminta dari 'Baba' (panggilan untuk bapak aku) mungkin merupakan perkara terakhir yang aku akan lakukan. kalau pada Mak pun belum tentu boleh dapat kerana emak aku suri rumah sepenuh masa. Susah bila memikirkannya, ialah RM10 terlalu besar bagi kami. Sedang makan hari-haripun belum tentunya inikan pula nak menyediakan duit sebanyak itu. Itu tak termasuk lagi dengan yuran adik beradik yang lain Kakak, Abang, Adik yang juga bersekolah..............................................................nantilah aku sambung lagi kemudian.

Tilapia Merah Bakar Bersambal.

Sesajer nak kongsi resipi. Baru-baru ini semasa perjalanan pulang dari Pengkalan hulu atau nama lamanya Keroh (Utara Perak bersempadan dengan Baling  dan Gerik dan berdekatan dengan Betong - Thailand) aku sekeluarga sempatlah singgah untuk makan tengahari di Restoran Ikan Bakar Tasik Raban. Orang rumah aku memilih lauk Masak Tempoyak Batang Keladi, Asam pedas, Sambal Belacan serta Ulam-ulaman. Sementara itu aku memilih Ikan Tilapia Bakar. Memang 'meletop' masakan kampong yang betul-betul menyelerakan. Kalau diberikan 'rating' bintang, aku boleh bagi 4.5 bintang. Memang cukup menyelerakan dan kebetulan pula kami memang benar-benar lapar. Betulah sunnah Nabi SAW makan apabila lapar -----baru nikmat rasa makannya. Okay aku sebenarnya ingin berkongsi resipi mengenai Ikan Tilapia Bakar ni. Mungkin bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk ke Restoran Ikan Bakar Tasik Raban bolehlah mencubanya sendiri. Aku pun telah cuba membuatnya kat rumah. Ialah ini hasil ternakan ikan ala hydroponik yang aku unsahakan kat rumah. Sempat jugak aku jemput adik-beradik datang rumah dan menjamu mereka dengan Ikan Bakar Tilapia ala-ala Restoran Tasik Raban. Di bawah ini resipi untukdicuba:

Ikan Tilapia Merah (pastikan dapat yang segar dan jenis yang tidak berbau lumpur/tanah kalau bela sendiri lagi bagus.) siang buang perut dan dibelah dua tapi tidak putus.
Ikan Tilapia ini apabila sudah dibersihkan dulumur garam dan kunyit. bagi kunyit lebihpun tidak mengapa. Ada juga petua untuk menghilangkan hanyir ikan ini, bolehlah dibasuh dengan air asam dan garam. Tapi untuk makluman ikan ternakan aku secara Hydropinik ini cuba perlu dibasuh dengan air paip sahaja, tiada bau lumpur atau hanyir. Ikan ni nak sedap lagi rasanya hendaklah dibakar dengan arang.

Sambal:
3 Sudu makan      Cili giling - lebih baik kalau kisar sendiri cili kering, rasanya lebih enak.
4 biji                    Bawang Merah Kecil
2 Ulas                  Bawang Putih
2 cm                    Halia
2 cm                    Kunyit Hidup
1 batang              Serai - diketuk
1 sudu makan rata-    Serbuk Belacan Bakar
2 keping              Asam gelugor
2 cawan              Santan Pekat
Garam dan gula secukupnya.

Caranya:
1. Kisar, bawang merah, bawang putih, halia, kunyit hidup dan belacan. Campurkan dengan cili giling.
2. Di dalam periuk yang tebal atau kuali panaskan minyak masukkan bancuhan cili - tumis sehingga betul-betul garing. 
3. Kemudian masukkan asam gelugor, masukkan sedikit air jika tumisan terlalu kering. Tumislah seketika sehingga terasa asamnya.
4. Masukkan santan dan terus tumis sehingga santan naik minyak. Akhirnya perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
5. Opsyenal - jika mahu bolehlah masukan sedikit daun kari untuk memberikan aroma yang menarik dan harum.
6. Hidangkan Ikan Tilapia yang sudah siap dibakar dan tuangkan sambal di atasnya. Boleh dimakan terus begitu sahaja bersama nasik atau jika mahu buatlah air asam sebagai pencicah.

Aku gerenti pasti 'meletop' cubalah