Wednesday, March 27, 2013

Tilapia Merah Bakar Bersambal.

Sesajer nak kongsi resipi. Baru-baru ini semasa perjalanan pulang dari Pengkalan hulu atau nama lamanya Keroh (Utara Perak bersempadan dengan Baling  dan Gerik dan berdekatan dengan Betong - Thailand) aku sekeluarga sempatlah singgah untuk makan tengahari di Restoran Ikan Bakar Tasik Raban. Orang rumah aku memilih lauk Masak Tempoyak Batang Keladi, Asam pedas, Sambal Belacan serta Ulam-ulaman. Sementara itu aku memilih Ikan Tilapia Bakar. Memang 'meletop' masakan kampong yang betul-betul menyelerakan. Kalau diberikan 'rating' bintang, aku boleh bagi 4.5 bintang. Memang cukup menyelerakan dan kebetulan pula kami memang benar-benar lapar. Betulah sunnah Nabi SAW makan apabila lapar -----baru nikmat rasa makannya. Okay aku sebenarnya ingin berkongsi resipi mengenai Ikan Tilapia Bakar ni. Mungkin bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk ke Restoran Ikan Bakar Tasik Raban bolehlah mencubanya sendiri. Aku pun telah cuba membuatnya kat rumah. Ialah ini hasil ternakan ikan ala hydroponik yang aku unsahakan kat rumah. Sempat jugak aku jemput adik-beradik datang rumah dan menjamu mereka dengan Ikan Bakar Tilapia ala-ala Restoran Tasik Raban. Di bawah ini resipi untukdicuba:

Ikan Tilapia Merah (pastikan dapat yang segar dan jenis yang tidak berbau lumpur/tanah kalau bela sendiri lagi bagus.) siang buang perut dan dibelah dua tapi tidak putus.
Ikan Tilapia ini apabila sudah dibersihkan dulumur garam dan kunyit. bagi kunyit lebihpun tidak mengapa. Ada juga petua untuk menghilangkan hanyir ikan ini, bolehlah dibasuh dengan air asam dan garam. Tapi untuk makluman ikan ternakan aku secara Hydropinik ini cuba perlu dibasuh dengan air paip sahaja, tiada bau lumpur atau hanyir. Ikan ni nak sedap lagi rasanya hendaklah dibakar dengan arang.

Sambal:
3 Sudu makan      Cili giling - lebih baik kalau kisar sendiri cili kering, rasanya lebih enak.
4 biji                    Bawang Merah Kecil
2 Ulas                  Bawang Putih
2 cm                    Halia
2 cm                    Kunyit Hidup
1 batang              Serai - diketuk
1 sudu makan rata-    Serbuk Belacan Bakar
2 keping              Asam gelugor
2 cawan              Santan Pekat
Garam dan gula secukupnya.

Caranya:
1. Kisar, bawang merah, bawang putih, halia, kunyit hidup dan belacan. Campurkan dengan cili giling.
2. Di dalam periuk yang tebal atau kuali panaskan minyak masukkan bancuhan cili - tumis sehingga betul-betul garing. 
3. Kemudian masukkan asam gelugor, masukkan sedikit air jika tumisan terlalu kering. Tumislah seketika sehingga terasa asamnya.
4. Masukkan santan dan terus tumis sehingga santan naik minyak. Akhirnya perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
5. Opsyenal - jika mahu bolehlah masukan sedikit daun kari untuk memberikan aroma yang menarik dan harum.
6. Hidangkan Ikan Tilapia yang sudah siap dibakar dan tuangkan sambal di atasnya. Boleh dimakan terus begitu sahaja bersama nasik atau jika mahu buatlah air asam sebagai pencicah.

Aku gerenti pasti 'meletop' cubalah

No comments: