Petang 6 Ramdhan 1434 bersamaan dengan 15/7/2013 rancangan TV siri Jejak Rasul menunjukkan bagaimana krew TV3 mengalami ibadat berpuasa di padang pasir bersama dengan kaum Badwi. Salah satu hidangan iftar yang disediakan untuk meraikan tetamu adalah Nasi Maglubah. kalau diterjemahkan terus membawa maksud "nasi yang diterbalikkan' atau aku terjemahkan kepada "Nasi Tonggeng periuk". Terdapat berbagai versi mengenai sejarah nasi maglubah ini. Ianya dikatakan amat popular di kalangan orang Arab Badwi yang tinggal di padang pasir. Ianya juga terkenal di negara Palestin, Jordon, Arab Saudi dan negara-negara Arab yang lain. Resipi yang nak dikongsikan ini, aku dah "modified' untuk memastikan ianya mudah disediakan dan pasti berasnya tidak akan jelantah (mentah). Untuk mendapatkan hasil yang terbaik..................yang pertamanya dapatkanlah beras Basmathi yang 'handsome'. Aku gunakan Basmathi Fuza dan memang hasilnya...................beras tak mudah patah, harganya lebih kurang dalam RM12.50 sekilo. Sementara bagi rempahnya aku bancuh sendiri. Untuk mendapatkan hasil yang baik pastikan juga rempah yang dibeli hendaklah serbuk rempah yang betul-betul berkualiti. Elakkan memberikan rempah yang bertulis 'serbuk campuran'. Contohnya 'serbuk kunyit campuran' yang ini bermakna bukan seratus peratus serbuk kunyit tetapi dah dicampurkan, biasanya ianya dicampur dengan tepung beras bagi mendapatkan 'volume' yang lebih jadi harganya dijual lebih murah dan sudah tentu rasanya juga kurang enak.
Nasi Maglubah Alinoor - Hidangan untuk 10 - 15 orang
Bahan-Bahan
#1
1 kg Beras Basmathi (pilihan hati dan ketebalan poket)
Rendamkan selama lebih kurang 20 -30 minit kemudian ditapis. Dalam pada dok tunggu beras direndam buat perkara berikut. Masak air * dan sediakan ayam**................rancang kerja supaya berjalan lancar dan dapur tak berkecah............."smooth and clean as you go" ni motto "my kitchen"
*Sementara itu dalam periuk masakkan air yang banyak. Lebih kurang 3 kali ganda sukatan kuantiti beras. Contoh jika 1 kg beras ini sukatannya 6 cawan maka masaklah air dalam kuantiti 6 x 3 = 18 cawan. Masukkan daun pandan, daun pudina, air mawar (jika mahu), lada hitam biji, kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga, 1/4 cawan minyak zaitun, garam, kuib ayam, bawang besar dihiris kasar serta 1 sudu makan serbuk bancuhan ketumbar / jintan putih / jintan manis. masak air sehingga mendidih dan biarkan sehingga aromanya bangkit.
#2
**Sementara menunggu, pastikan bahan-bahan di bawah disediakan. Mula mula.................
Ambil 10 - 15 ketul Peha ayam dibuang kulit (lebih sihat), basuh bersih dan buang lemak dan jangan lupa Selawat sepanjang menyediakan hidangan. Mengikut petua bentara guru...............hidangan akan jadi sedap dan enak. Tapi apa pun dalam bula Ramadhan banyakkan beramal muga diterima Allah SWT.
Selepas itu ambil bahan-bahan di bawah kemudian perapkan ayam lebih kurang dalam 20 - 30 minit juga.
2 sudu makan Serbuk Ketumbar
1 sudu makan Serbuk Jintan Manis
1 sudu makan Serbuk Jintan Putih
1 sudu makan Serbuk Kunyit
1 cawan Yoghurt / tairu / susu masam / susu segar dibancuh dengan jus lemon
#3
2 labu Bawang Besar - dihiris
5 ulas Bawang Putih - dihiris
2 cm Halia dihiris
1 batang Lobak Merah - potong ikut suka - hiris boleh, dadupun boleh
2 biji Terung Bulat - belah dua dan dihiris jangan terlalu nipis atau tebal
1 biji Lada Benggala - "Green Pepper / Capsicum - dibelah dua dan dihiris.
kalau nak sedikit terasa pedas2 (tapi taklah pedas sangat) boleh juga hiriskan cili hijau
(Bolehlah kalau nak tambah sayur lain yang sesuai seperti cauliflower ke atau sebagainya untuk memeriahkan suasana Nasi Maglubah ni.
#4
Dalam periuk yang lain (bukan periuk yang masak air tadi tu, panaskan minyak zaitun (kalau nak campurkan sedikit ghee boleh juga, ini akan menampahkan lagi aromanya). Pastikan juga bahawa periuk cukup besar untuk menampung jumlah nasi nanti, tumiskan bawang besar, bawang putih dan halia. Tumis sehingga wang (bukan garing), lepas tu masukkan ayam berdama perapannya. Biarkan seketika lepas tu masukkan bahan-bahan sayuran yang lain dan tutup periuk serta kecilkan api. masak ayam sehingga setengah masak. Apabila masak, biarkan ayam dan bahan-bahan di dalamnya keluarkan 'kuah'nya dan asingkan.
#5
Pergi balikkan kat periuk yang masak air tadi. Keluarkan segala 'sampah-sarap' (segala bahan-bahan yang tidak terlarut yang dimasukkan tadi.......habis manis sepah dibuang). Biarkan api yang besar dan panas, masukkan beras dan kacau pelahan-lahan. Jangan ganas sangat nanti beras hancur dan jadi tidak handsome bila dihidangkan nanti. Terus masak nasi sehingga betul-betul kembang. Macamana nak tahu kembang besar tadi telah bertambah besar lebih kurang 4 kali ganda saiz asalnya atau bila kita picit dengan jari ianya terasa lembut. Selepas itu buangkan airnya. Bila air dah habis tos, masukkan nasi ke dalam periuk ayam tadi kesemuanya. kemudian tuang rata ke atas nasi tersebut dengan kuah ayam yang diasingkan tadi. tutup periuk rapat-rapat. Ada dua cara penyudah untuk masak Nasi Maglubah ni:
1. Tutup periuk rapat-rapat kemudian letakkan di atas dapur dengan api yang sederhana kecil. Biarkan selama lebih kurang 30 minit, sebelum diangkat dan diterbalik atau ditonggengkan bila dihidang.
2. Semasa penyediaan tadi, panaskan ketuhar - oven pada suhu 180 darjah selsius. Tutup periuk rapat-rapat, kemudian masukkan ke dalam letuhar untuk lebih kurang 25 - 30 minit.
Okay, apa bezanya penyudah antara keduanya. hanya Jauhari Mengenal Manikam. Mungkin bagi sesetengah orang tidak banyak bezanya dari segi rasa. Tapi percayalah bahawa teknik memasukkan dalam oven lebih enak dan hasilnya nasi masak rata, tiada berkerak dan dengan aroma lebih menarik. terlupa pulak kalau bajet lebih semasa masuk nasik tadi bolehlah disulamkan dengan kismis, badam dan gajus juga mahu. Kalau nak bagi terbeliak bijik mata orang tengok masukkan kismis yang saiz macam ibu jari kaki.
Bolehlah makan Nasi Maglubah dengan salad timun dan tomato..................atau buatlah raita. Kalau nak gantikan dengan daging selain ayam boleh jugak. Tapi kalau nak lebih enak guna daging kambing............terbaik Syeikh. Okay selamat mencuba.