There was an error in this gadget

Wednesday, April 16, 2014

Temasya Sukan Sekolah..................

Mungkin anak-anak hari ini tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka bagaimana meriahnya suasana hari sukan sekolah dulu-dulu? meriahnya tidak macam sekarang. Temasya Sukan Sekolah masa ini seolah dilihat hambar. Cuma warga sekolah dan yang berkait rapat dengannya seperti AJK PIBG sahaja yang mungkin terlibat secara langsung mahupun secara tidak langsung. Penyertaan atau penglibatan masyarakat setempat terutama dari kalangan ibubapa yang anak-anak mereka yang bersekolah pun belum tentu lagi melibatkan diri dengan Temasya Sukan Sekolah ini. Kadang-kadang ada sambutan Temasya Sukan Sekolah dilihat begitu hambar dan sepi.
(Gambar sebagai hiasan sahaja diambil dari sharinginfoz.blogspot.com)
Berbanding dengan waktu dulu-dulu................Temasya Sukan Sekolah bukan sahaja mendapat tempat di hati warga sekolah semata-mata. Ianya melangkaui sempadan padang sekolah hinga ke seluruhan kampung. Pengumuman bukan sekadar pada kain rentang yang di pasang berdekatan dengan sekolah malah terdengar di corong pembesar suara di Masjid. Sudah tentu tidak ketinggalan perkara mengenainya juga dibincang dalam Agenda Mesyuarat Jawatan Kuasa Kampung di balairaya-balairaya (mungkin ada di antara anak-anak generasi sekarang yang tidak pernah p-un mendengar istilah 'balairaya' ini). Penglibatan dalam menjayakan Temasya Sukan ini bukan terletak di atas bahu para guru sahaja, Jawatankuasa Kampung juga memainkan berperanan yang tidak kurang pentingnya dalam memastikan kemeriahan Temasya Sukan Sekolah ini. Perancangan program melain daripada melibatkan murid secara langsung ianya juga merangkumi aturcara yang melibatkan orang-orang kampung dan guru-guru. Antara acara kemuncak yang masih aku ingat adalah acara pertandingan Tarik Tali antara - Pasukan Guru & AJK PIBG melawan Pasukan Orang-orang Kampung (yang ditubuhkan secara bidan terjun). Riuh rendah sorakan dengan gegak gempita padang sekolah dengan jeritan dan sokongan kedua-dua belah pihak.
Perkara-perkara yang paling tidak boleh aku lupakan adalah persiapan awal sekolah dengan menjalankan aktiviti mewarna ('dye' baju rumah sukan masing-masing. Masa tu jenama pewarna yang terkenal dalam bentuk serbuk adalah 'Dylon'). Sesi mewarnakan dijalankan bersama antara Guru dan murid. T-shirt sukan ini atau lebih tepat adalah Singlet tanpa lengan yang sering digunakan adalah dari jenis Pagoda atau kalau mereka yang berduit jenama yang digunakan seperti "Fruit of the Loom". Selain dari mewarna murid-murid juga diberikan tugasan untuk menjual tiket bagi membeli barangan jualan semasa Temasya Sukan berlangsung. Tiket-tiket ini biasanya dalam nilai 0.20sen, Sebulan sebelum temasya sibuklah murid-murid pergi rumah-ke-rumah menjual tiket sambil menjemput orang kampung untuk datang ke Temasya Sukan Sekolah itu nanti. Semakain dekat dengan tarikh temasya semakin sibuk dan kemeriahan yang dirasa. Sekolah dibersihkan dengan acara gotong royong serta diperhiaskan dengan pelbagai perhiasan dan poster.
Satu perkara yang mesti rakan-rakan seangkatan dengan aku mesti ingat adalah kehadiran Lori/Van bewarna hijau yang akan kerap kali datang pada setiap Temsya Sukan Sekolah. Kenderaan bewarna hijau inilah yang menjadi tumpuan ramai termasuk orang-orang kampung. Kerana masa inilah berpeluang untuk dapat minum minuman 'Coklat' paling sedap yang dapat dirasakan. Kenderaan ini tidak lain daripada Lori Milo. Aku antara orang yang memang sangat-sangat menunggu kehadiran Lori milo ini. Masa nilah nak dapat merasa minum Milo puas-puas tak kiralah berapa panjang barisannya kena beratur atau tak peduli berapa kali kena beratur .......asalkan dapat minum Milo percuma. Anak-anak sekarang mungkin tak dapat merasakan perasaan yang sama kerana kat rumah stok Milo sentiasa ada. Kami dulu yang ada cuma tin Milo kosong yang dibuat sebagai permainan. nak beli Milo bukan murah...................rata-rata masa itu kehidupan masyarakat melayu kampung agar daif. Milo pula diletak sebagai bahan makanan yang 'lumayan' yang jrang dimasukkan kedapam senarai barangan perlu beli bagi kebanyakan rumah orang melayu.

(Gambar sebagai hiasan sahaja diambil dari yuhaisya.blogspot.com)
Suasana kemeriahan dan keseronok menunggu dan menyambut Temasya Sukan Sekolah dulu-dulu jika dibandingkan dengan sekarang amat jauh sekali. Dulu mungkin aktiviti keramaian atau hiburan amat sedikit maka bila sesuatu program sebegini dijalankan maka ianya mendapat perhatian keseluruhan lapisan masyarakat. Tidak seperti sekarang terlalu banyak aktiviti keramaian, hiburan dan juga program dan majlis yang leka dan lalai maka program Temasya Sukan Sekolah ini dipandang sepi oleh masyarakat setempat..........cuma yang terlibat tidak lain cuma murid dan guru sahaja itu pun mungkin kerana ianya telah ditetapkan sebagai salah satu program tahunan sekolah..........Wallahu'alam

1 comment:

igar said...

Çok güzel bir cookie tarifi teşekkürler