Monday, June 16, 2008

Kelong Ma Mod Lukut, Negeri Sembilan

Lama tak memancing, set memancing aku dah naik bersawang. Sejak berkecimpung dalam sukan golf dan berbasikal dan ditambah pulak dengan mengendalikan kelas masakan kat rumah, masa untuk memancing agak terbatas. Aku ni, ada banyak hobi tapi aku tak buat satu benda tu berterusan ........ mungkin untuk mengelakkan jemu, agaknya. Memancing, golf, berbasikal (mountain biking), bertukang, melukis atau yang akhir sekali mengeram adalah antara aktiviti yang selih berganti dalam aktiviti kehidupan aku.


Sabtu baru ni, kawan sekolah menengah aku si Johnny telefon ajak pegi Kelong Ma Mod. Dah berapa kali dia ajak pegi Johorlah, Mersing, Perhentian semuanya aku beri alasan tak ada masa. Tapi kali ni rasa macam ada satu tarikan pulak, aku cakap kat Johnny untuk 'confirm'kemudian. Telefon 'wife' aku 'to check' samada ada apa-apa hujung minggu ni? Dia kata tak ada, aku bagitahu Johnny ajak pegi mancing kat Lukut sehari semalam, tidor kat Kelong hari Sabtu - dia kat pun nampak macam bagi "green light" aje. Aku pun apalagi, telefon Johnny untuk 'confirm'kan, aku dengan sorang jiran aku akan turut serta.


Sepanjang minggu sebelum pegi Lukut, aku agak sibuk dengan bengkel, hari Sabtu pagibaru bekesempatan untuk menyiapkan peralatan yang dah bersawang. Pukul 2.15 ptg lepas solat zohor dan makan tengahari aku bertolak dengan Mi (jiran aku lah), naik Savvy kelabu aku (minyak dah mahal bawak kereta kecil jimat sikit). Johnny dan Wan Labu @ Cargo tunggu kami kat depan simpang masuk Kampung Kebun Baru, Batu 10. Kamibertolak melalui jalan Jenjarom terus ke jalan KLIA ke Lukut, sampai dekat Bkit Pelandok dua lagi kereta menunggu kami. Dia orang ni merupakan pelanggan perniagaan Johnny. Tak sabar rasanya nak sampai Lukut ...... rasa-rasa macam nak menarik ikan besar kot .... Jenahak, Siakap, Kerapu ke tak kiralah asal dapat spesis yang baik-baik bersisik.


Pukul 4 bot bertolak ke Kelong Ma Mod, rupanya kelong ni dekat aje - dalam 20 minit perjalanan dengan bot. Aku ni tak pernah samapai ke sini, memancing kat kelong pun tak pernah. Dalam kepala dok terbayang macamana rupa kelong ni, kemudahan ... bilik air, tempat tidor, memasak dan sebagainya. Ikut kata Johnny semua okay .. boleh masak dan sebagainya. Ombak agar sedikit besar semasa bot bertolak ke kelong. Dari jauh aku dapat lihat berbalam-balam kelong yang kami tujui, cuaca masa itu agak kelam (redup) sedikit. Sampai aje kat kelong - aku tengok sekeliling ...... sedih jugak, setahu aku Kelong Ma Mod ni agak popular dan terkenal dengan kaki pancing. Macam-macam cerita menarik yang aku dengar, lagipun tak silap aku kelong ni merupakan kelong yang terawal yang terkenal di kalangan kaki pancing. Cerita tentang kelong ni dah biasa masuk surat kabar, dan majalah seperti Pancing, Sirip dan Ngail. Sedih sungguh nampak kedaifan kelong ini yang tidak terbela dan terjaga. Memanglah setengah orang kata janganlah harapkan perkhidmatan lima bintang kat atas kelong ni. Tapi tengok-tengok lah sikit keadaan kelong kat sini. Tolonglah bersihkan sikit mana-mana patut, bilik tidur tu patut dikemaskan, dapur perlu bersih dan tandas pun mestilah sempurna. Kemudahan surau dan tempatberwuduk perlu diberikan perhatian (tak disediakan pun). Tulah nak sarankan sikit pada pengusaha kelong ni ...... jangan asik dok pungut duit aje. Kalau nak memastikan keujudan kelong ni terus relevan pada masa akan datang, buatlah penyelenggaraan berjadual. Itulah orang kita ni bab buat kelong boleh, berniaga bolehlah jugak tetapi nak menyelenggarakannya payah sangat. kenalah berpandangan jauh, bukan kita nak berniaga masa ni aje ...... kalau boleh berterusan dan jadi lebih baik lagi.


Hasil pancingan semasa kat kelong ni taklah sesuatu yang boleh dihebohkan bagi seorang kaki pancing, mungkin rezeki tak ada kot. Bagi aku kalau tak dapat ikan besar atau banyak, tokeh kelong tak salah...... itu rezeki namanya. Tapi tokeh patut dipersalahkan apabila kemudahan yang disediakan .... hancus. Semasa kat atas kelong ni sempat aku berkenalan dengan seorang Uncle berbangsa Cina. Fasih bahasa Melayunya dan dia kerap jugak datang ke sini, tak banyak pilihan katanya. Agaknya dalam kata lain kalau ada pilihan yang baik dari segi kemudahan dia tak datang ke Kelong Ma Mod ni. Dia juga bercerita tentang kumjungannya ke Rompin, ke Kelong Aceh, bagus katanya sambil mengangkat ibu jari, kemudahan baik macam kat resort atau hotel (sudah tentulah bukan dimiliki oleh orang kita). Banyak kali dia dah ke sana dan setiap kali dia tidak jemu dan senantiasa merasakan sebagai satu pengalaman baru. Dalam hati aku bertanya, orang kita tak boleh ke buat macam tu ke?

Seperkara lagi agensi kerajaan negeri mahupun persekutuan yang berkenaan patut turun padang, bantu dan pantau mana-mana patut. Pada pemerhatian aku, ciri-ciri keselamatan amat daif sekali kat kelong ni. Kemudahan asas kebersihan (sanitation and hygiene) langsung tak diberikan perhatian. Keselamatan dari segi kebakaran langsung tak ada. Bayangkan sekiranya berlakulah kebakaran kat atas kelong ni...... alamat, "NAUZUBILLAH". Janganlah esok bila dah berlaku kejadian yang tak diingini Jabatan atau agensi berkaitan baru nak melatah. Rakan-rakan kat Jabatan Perikanan, Jabatan Laut, Jabatan Kesihatan, Syahbandar, Pelancongan dan mana-mana agensi yang berkenaan patut ada sikit sikap "ambil tahu".


Apa pun sifir bagi kaki pancing mudah aje, kemudahan teruk + ikan tak ada = tak datang lagi. Kemudahan baik + ikan tak ada (tak ada rezeki) = ada peluang untuk datang lagi, kemudahan baik + ikan pun baik punya (rezeki murah) = gerenti (INSYAALLAH) datang lagi. Entahlah sedih juga dengan orang kita ni, orang berniaga kita pun nak jugak tapi tak ikut betul-betul. Kalau nak berniaga ....... buatlah betul-betul dan fikirlah betul-betul.

No comments: