Pada masa yang sama dalam tahun 1980 tu, aku ingat pensyarah yang mengajar kami memberi tugasan untuk mencuba resipi-resipi sate. Kemudiannya setiap resipi dinilai dan resipi yang terbaik dipilih. Mungkin masa itu kami semua ni masih kelabu tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku, rupa-rupanya resipi yang dipilih itu adalah untuk dijadikan resipi piawai (standardized recipe) untuk restoran yang bakal diusahakan iaitu "Sate Ria" (SR). Ini merupakan satu usaha MARA untuk mengenengahkan makanan Malaysia berkonsepkan Restoran Makanan Segera. Boleh dikatakan masa itu, usaha ini merupakan satu usaha yang baik dan patut disokong. Tetapi di mana silapnya, SR kemudiannya sudah tidak kedengaran lagi masa ini. Ada yang mengatakan kegagalan SR disebabkan pengurusan yang lemah dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas, lantas ianya terrus terkubur, walaupun SR mempunyai potensi untuk berkembang di arena antarabangsa. Secara peribadi aku melihat kegagalan SR disebabkan beberapa perkara.
1. Pada ketika SR dilancarkan di Malaysia, rata orang Malaysia ketika itu mempunyai pilihan yang agar luas dalam menikmati sate. Terdapat pelbagai pilihan untuk menjamu sate, antaranya Aneka Sate, Majid Sate dan Sate Kajang. Persaingan juga berlaku dari penjual sate kecil-kecilan. Lantas SR terpaksa berdepan dengan persaingan dari berbagai bentuk perniagaan sate.
2. Pelanggan pada masa itu tidak dapat menerima atau masih janggal untuk menerima sate dalam bentuk perniagaan Restoran Makanan Segera. Pelanggan masih mahu melihat api, asap dan menghidu bau sate dibakar. SR tidak dapat menawarkan apa yang diingini oleh pelanggan kerana konsep perniagaannya yang berbeza dari bentuk perniagaan sate tradisional.
3. Hala tuju yang tidak jelas pengurusan menyebabkan SR tidak dapat berkembang. Walaupun pada masa yang sama dikatakan diperingkat antarabangsa, sambutan kepada SR mengalakkan. Lapuran media menyebut setiap kali pameran pelancongan diadakan di luar negara Gerai SR mendapat sambutan dari kalangan pengunjung. Tetapi benar tidaknya tidak dapat disahkan.
4. Faktor masa merupakan elemen yang harus juga diberikan perhatian. Kenapa sekarang ini Sate Samuri begitu popular sehingga mampu menjadi satu perniagaan rangkaian. Dulu Sate Samuri cuba boleh dinikmati di Kajang, kemudian di R & R Awan Besar, Restoran Jejantas Sungai Buluh dan sekarang ini boleh didapat di Kelang malahan dikabarkan akan mengembangkan perniagaannya di bandar-bandar besar di Malaysa. Masa menyebelahi Sate Samuri tidak seperti SR di mana waktu itu penerimaan dan kemampuan pelanggan ditahap yang masih rendah.
Sayang sekali buat SR, usaha yang telah dilakukan sebelum ini nampaknya terkubur begitu sahaja. Alangkah baiknya jika ada pihak yang tertentu dan berkenaan yang dapat melihat kembali usaha SR sebelum ini, kemudiannya diberikan nafas baru tentu akan membuahkan hasil yang positif. Asasnya dah ada cuma perlu diperelokkan dan sudah pasti untuk kali kedua ini nanti akan menjadikan SR berjaya.
Terlanjur bercerita pasal SR ni, aku teringat pulak cerita pasal Restoran Malaysian Kitchen (RMK). Memanglah tak dinafikan usaha sebegini memang baik bagi mengenengahkan masakan Malaysia diperingkat antarabangsa. Tetapi cuma yang hendak diingatkan dalam keghairahan itu takut terkucil dan terkehil. Sekarang ini pun aku dah dengar-dengar dan risik-risik macam-macam cerita negatif tentang RMK. Ada orang yang menyumpah-yumpah tentang RMK yang tak berapa "Malaysian". Dengar-dengar juga yang orang-orang yang terlibat semasa awal mula perancangan RMK ini dah ada yang berhenti atau merajuk. Entahlah betul tidaknya, tak pasti pulak tapi dengar cerita macam tu lah.
Kalaulah dapat disarankan alangkah eloknya jika RMK dapat melihat sebentar apakah yang boleh dimanafaatkan daripada pengalaman dan cerita SR. Kalau perlu pengabungan dan kerjasama antara RMK dengan SR dapat diadakan bagi meletakkan masakan Malaysia pada tahap yang dapat diterima masyarakat antarabangsa seperti mana masakan Siam. Tak tahulah apa nak cakap..........aku cuma boleh Fikir, dia oranglah kena Fikir dan buat
No comments:
Post a Comment