Wednesday, September 10, 2008
Makan jangan sebarang makan......
Thursday, August 21, 2008
Robot tanpa jiwa
Friday, August 8, 2008
Kawan kepada Kawan
Hari ni aku nak ambil kesempatan untuk bercerita tentang kawan kepada kawan aku. Dia ni asal keturunannya campuran Greek, beragama Islam dari sebelah ibu dia, dibesarkan di New Zealand, berkahwin dengan orang NZ berbangsa Mouri dan bermastautin di Sydney Australia, menghabiskan banyak masanya mengembara dengan kapal layarnya mengelilingi dunia. Merata tempat dah dia pergi. Aku kenal Mat Sallleh ni melalui jiran aku, sepanjang aku tinggal kat Telok Panglima Garang ni dah 3 kali Mat Salleh ni datang. Mula dulu dia datang seorang diri, masa tu taklah rapat sangat dengan dia ni, adalah borak sikit-sikit. Kali kedua dia datang dengan isteri dia dan kali yang ketiga ni dia datang seorang diri (sambil jalan dia nak buat gigi palsu kat Malaysia - mengikut katanya kos untuk buat gigi palsu di Australia terlalu mahal, Malaysia jauh lebih murah).
Masa kali kedua dia datang dengan isteri dulu adalah jugak aku berkesempatan untuk bawa dia orang jalan-jalan untuk memperkenalkan Malaysia kat dia orang. Aku bawa mereka ke Kampung Endah di Morib yang memenangi berbagai hadiah - kampung tercantik peringkat negeri dan kebangsaan - punyalah bangga bila dia orang puji bertapa cantik dan indahnya Malaysia. Tetapi dalam pada seronok tu ada juga peristiwa yang tak berapa menarikny. Mat Salleh ni teringin nak tengok penempatan suku kaum orang asli "Mah Meri" yang tingggal kat Pulau Carey - akupun bawalah dia orang jalan-jalan, lepas tu pergilah ke tepi pantai Pulau Carey. Ini yang tak sedapnya..................sampai aje ke pantai, alamak punyalah kotor. Ya ALLAH Ya RABBI, bukan sekadar botol dan plastik, terdapat jugak lampin pakai buang yang dibuang merata-rata, ini yang rasa tebal muka. Mat Salleh ni toleh kat aku dan cakap : "Probably it takes another generation to appreciate the beauty of your country...." Terkedu jugak aku, habis tu nak cakap apa deh memang kotor, kalau orang sekarang kata "kotor tahap gaban". Mereka yang berwajib perlulah tengok-tengokan Pulau Catey ni.......
Itu cerita yang lepas, baru-baru ni aku buat tempahan untuk makan malam kat Kelas Praktikal pelajar Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM. Tempat aku bekerjalah. Saja nak tunjuk kat Mat Saleh ni, apa yang kita ada untuk ditunjukkan. Bangga betul aku, dia punya puji melambung tentang fasiliti dan program yang kita tawarkan. Sudah tentu sekali layanan mesra pelajar dengan hidangan yang menyelerakan membantu memberikan impak yang positif pada Mat Salleh sorang ni. Aku juga nak mengambil kesempatan nak mengucapkan terima kasih dan syabas pada pelajar-pelajar serta pensyarah terlibat yang memberikan layanan yang istimewa dan hidangan yang lazat untuk kami malam tu (06/08/08).
Satu perkara tentang Mat Salleh ni dia suka tentang budaya dan sepanjang perkenalan aku dengan dia ni, dia suka bertanya tentang soalan-soalan berkaitan dengan budaya. ALHAMDULILLAH pengetahuan sedikit sebanyak sejarah dibantu dengan pembacaan dapatlah juga aku menjawabnya. Ada satu soalan dia tentang makanan.... "kenapa orang Melayu apabila masak sesuatu makanan tu terutama sekali ikan sampai betul-betul masak hingga hilang rasa keaslian makanan tersebut"
Puiih jenuh jugak nak menjawab dan merasionalkan tabiat orang Melayu tentang masakan ni. Ada betul jugaknya, ikan terutama yang banyak tulang tu kita kebiasaannya akan masak sehingga garing dan bila dimakan boleh kunyah tulang tu sekali. Fikir-fikir punya fikir aku pun jawab. Itu semua telah menjadi budaya sesuatu masyarakat. Dalam budaya atau tabiat masakan orang Melayu, kita akan memastikan bau atau rasa keaslian bahan mentah yang kita masak tu hilang (terutama hanyir ikan). Sebab itulah dalam masakan Melayu, rempah ratus dan herba banyak digunakan untuk menghilangkan rasa atau bau mentah. Contohnya lihat pada masakan seperti daging rendang, rasa daging dan baunya tiada yang lebih dominan tentang rasa dan bau adalah campuran bahan rempah ratus dan herba. Masakan Melayu berbeza dari segi budayanya dengan bangsa lain di dunia. Masakan Melayu berbeza dengan masakan Jepun, mereka suka memakan makanan dalam rasanya yang asli, itu pasal dia orang makan ikan mentah - sashimi. Manakala orang Barat pula dari segi merasakan makanan / masakannya adalah lebih lembut (mild). Aku lihat kepala Mat Salleh tu terhanguk-hangguk, rasanya setujulah dengan rasional yang aku berikan. Entahlah, betullah jugak agaknya rasional aku tu. Korang FIKIR macamnana?
Monday, June 23, 2008
Mana Mau Pergi?
Pada masa yang sama dalam tahun 1980 tu, aku ingat pensyarah yang mengajar kami memberi tugasan untuk mencuba resipi-resipi sate. Kemudiannya setiap resipi dinilai dan resipi yang terbaik dipilih. Mungkin masa itu kami semua ni masih kelabu tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku, rupa-rupanya resipi yang dipilih itu adalah untuk dijadikan resipi piawai (standardized recipe) untuk restoran yang bakal diusahakan iaitu "Sate Ria" (SR). Ini merupakan satu usaha MARA untuk mengenengahkan makanan Malaysia berkonsepkan Restoran Makanan Segera. Boleh dikatakan masa itu, usaha ini merupakan satu usaha yang baik dan patut disokong. Tetapi di mana silapnya, SR kemudiannya sudah tidak kedengaran lagi masa ini. Ada yang mengatakan kegagalan SR disebabkan pengurusan yang lemah dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas, lantas ianya terrus terkubur, walaupun SR mempunyai potensi untuk berkembang di arena antarabangsa. Secara peribadi aku melihat kegagalan SR disebabkan beberapa perkara.
1. Pada ketika SR dilancarkan di Malaysia, rata orang Malaysia ketika itu mempunyai pilihan yang agar luas dalam menikmati sate. Terdapat pelbagai pilihan untuk menjamu sate, antaranya Aneka Sate, Majid Sate dan Sate Kajang. Persaingan juga berlaku dari penjual sate kecil-kecilan. Lantas SR terpaksa berdepan dengan persaingan dari berbagai bentuk perniagaan sate.
2. Pelanggan pada masa itu tidak dapat menerima atau masih janggal untuk menerima sate dalam bentuk perniagaan Restoran Makanan Segera. Pelanggan masih mahu melihat api, asap dan menghidu bau sate dibakar. SR tidak dapat menawarkan apa yang diingini oleh pelanggan kerana konsep perniagaannya yang berbeza dari bentuk perniagaan sate tradisional.
3. Hala tuju yang tidak jelas pengurusan menyebabkan SR tidak dapat berkembang. Walaupun pada masa yang sama dikatakan diperingkat antarabangsa, sambutan kepada SR mengalakkan. Lapuran media menyebut setiap kali pameran pelancongan diadakan di luar negara Gerai SR mendapat sambutan dari kalangan pengunjung. Tetapi benar tidaknya tidak dapat disahkan.
Thursday, June 19, 2008
Tomyamisasi vs "McDonaldization"
Tuesday, June 17, 2008
Apa yang anda dilihat tak semesti apa yang anda dapat
Monday, June 16, 2008
Minyak Naik ......... Makanan?
Kelong Ma Mod Lukut, Negeri Sembilan
Everly Resort Melaka
Kalau dari jalan besar memang bangunan hotel ni tersergam gagah dengan pintu gerbang macam Kota A Famosa. Tetapi banyak yang perlu diperhatikan oleh pengurusan lebih-lebih lagi dari segi penyelenggaraan. Sepanjang tempoh aku kat sini, satu perkara yang boleh sangat dipuji adalah tentang keramahan-tamahan kakitangan hotel ini. Ke mana sahaja kita pergi tentu disapa dan ditegur dengan penuh kesopanan. Mungkin agaknya, aku berada di bumi Hang Tuah yang orangnya ramah tamah belaka. Tetapi dalam keramahan kakitangan hotel ni ada dua perkara yang mencuit aku. Satu tentang menu yang dihidangkan sepanjang tempoh berbengkel dan yang kedua tentang kemudahan (fasiliti) gimnasiumnya.
"Makanan yang menarik bermula dengana mata - Mata merupakan deria yang pertama digunakan bagi menikmati". Hidangan disediakan oleh Maria dan Ustaz Sazali dan Foto daripada Nor Akhmar, siri Bengkel Food Styling, FPHP, UiTM, June 2008
1. Menu, tutup mata aku boleh hafal jenis hidangannya. Satu jenis lauk ikan, daging, ayam, kupang, sotong dan sayur. Okaylah jugak kalau dipelbagaikan cara masakannya. Aiiik takkan kat Melaka ni dah kurang jenis lauk pauknya. Ikan kari atau "sweet n sour", rendang daging, ayam goreng, kupang masak kicap atau dengan oyster sos bercili dan sayur lemak atau sayur campur. Bayangkanlah sepanjang 5 hari 4 malam menu untuk 'buffet'nya berkisar dengan hidangan yang disebut tadi. Itu tak ambil kira menu sarapan pagi. Bertapa bosan menu yang ditawarkan. Mungkin Chefnya dah ketandusan idea atau perancangan menu yang lemah atau tak merancang langsung. Bagi aku kalau diberikan pilihan tentu aku pegi makan kat lain tempat atau pesan saja menu 'a la carte'. Rata-rata peserta bengkel memberikan komen yang sama. Tentulah aku menjadi tumpuan sebab latar belakang aku sebagai seorang Chef. Malu ada, kesihan pun ada bila diajukan pertanyaan, "Kenapa kualiti makanan kat hotel ni teruk, apa komen you?", seorang peserta bengkel wanita bertanya sebaik sahaja kami duduk untuk makan pada hari kedua. "Chef hotel ni tak pi sekolah kot?", kata ku dalam nada seloroh, walaupun tersentuh juga hati aku. Aku rasa untuk menjadi seorang Chef yang baik, kena bekerja dengan hati. Masakan dan hidangan yang dihasilkan merupakan satu kerja seni yang boleh dihayati oleh tetamu. Kepuasan tetamu mengecap keenakan hidangan merupakan puncak kepuasan bagi seorang Chef. Chef tak patut kerja semata-mata sebagai tanggung jawab sahaja. Patut lebih pada tu...... Chef yang baik kena pakai akal dan berfikir .................... fikirlah.
Sunday, June 15, 2008
Memartabatkan Pelanggan
Cerita 1 – Pejabat Pembayaran Majlis Perbendaharaan.
Awal pagi lagi aku dah menyiapkan diri dan bergegas bertolak ke pejabat majlis perbendaharaan. Ini semua untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas mahupun mengelakkan daripada menunggu lama di tempat pembayaran itu nanti. Nampaknya aku orang yang pertama sampai. Purrrrh, bagus jugak nanti dapat selesaikan urusan dengan cepat. Jam masih menunjukkan pukul 7.40 pagi, pintu masuk ke tempat pembayaran dah pun dibuka dan aku merupakan orang yang pertama beratur untuk mendapatkan nombor giliran. Memang jadi sikap aku kalau nak berurusan dengan mana-mana pejabat kerajaan terutamanya, suka pergi awal pagi. Sebaik kaunter dibuka aku mendapat nombor giliran 0001 untuk kaunter pembayaran yang dibuka satu kaunter sahaja. Seorang wanita melayu bertudung kelihatan duduk disebalik kaunter tersebut, kelihatan beliau agak sibuk mengadap skrin komputer dan menaip-naip. Mungkin tengah sibuk melakukan persiapan kaunter. Masa berlalu hampir lima minit, pelanggan sudah mula ramai menunggu tetapi masih lagi nombor giliran tidak dipanggil. Aku dah mula resah, pelahan aku berjalan ke kaunter dan bertanya “Cik bila kaunter akan dibuka?” kata ku. “Sekejap lagi”, ringkas aje jawab wanita tersebut tanpa memandang pun pada ku. Masa terus berlalu, dah nak hampir sepuluh minit dan pelanggan pun dah ramai menunggu dan kelihatan agak resah. Aku pun resah jugak, tahu ajelah orang kalau menunggu ni sekejap pun akan rasa lama, lebih-lebih lagi jika terpaksa menunggu tanpa sebab. Aku ke kaunter sekali lagi dan bertanya “Cik bila nak panggil nombor ni?” tanya ku. “Saya tengah sibuk ni tak nampak ke? Banyak bil dalaman yang perlu diselesaikan” sergah wanita terbabit. Piiiinnnng, berdesing telinga aku dan menyirap darah kesegenap anggota badan mendengar jawapan yang agak kasar tu. Sabar bisik hati aku. “Cik biasanya perkhidmatan kaunter akan mendahulukan pelanggan yang menunggu dan bil dalaman boleh dibuat apabila keadaan dah reda”, kata ku. “Kalau tak sabar dan nak komplen pergi tingkap dua jumpa pegawai saya”, kata wanita itu. Aiiik, ke situ pulak, ni macam mencabar aje. “Saya cuma nak tanya, bila nak panggil bukan nak komplen, tapi kalau nak suruh saya mengadu, boleh jugak”, jawab ku. Lalu berlalu dan terus ke tingkat dua untuk berjumpa pegawai yang disebut tadi. Berjumpa aje pegawai berkenaan, aku pun menerangkan tujuan dan mengadu tentang perkhidmatan kaunter pembayaran. Beliau kemudiannya bersama aku turun ke tempat pembayaran dan terus masuk ke dalam kaunter tersebut untuk bertanya kakitangannya. Aku terus ke depan kaunter, dengarlah juga apa yang dinyatakan oleh pegawai terbabit kakitangannya. Masa ini lah aku mengambil kesempatan untuk menasihat (sambil lepas geram lah jugak), “Cik, saya ni pun pegawai kerajaan jugak. Sikap cik yang macam nilah yang menyebabkan orang memandang serong pada kakitangan kerajaan. Dahlah cik tak pakai tanda nama, dan yang sedihnya pakai tudung yang menonjolkan ciri orang islam tapi ‘maaf-maaf cakaplah’ tidak langsung melambangkan keislamannya. Cik kena tahu, tak ada orang dalam dunia ni yang suka menunggu......lebih-lebih menunggu untuk bayar bil. Kena faham, ada orang yang terpaksa ambil cuti untuk datang bayar bil. Bukan cik seorang aje yang ada masalah peribadi, orang lain pun ada jugak. Paling penting kalau cik rasa cik bukan orang yang sesuai untuk tugas ni minta pada pegawai cik ni tukarkan ke bahagian lain, cari fail ke?, bersih tandas ke? Atau siram pokok bunga ke? Kata ku sambil memandang kepada pegawai wanita berkenaan. Sementara itu wanita tadi menundukkan mukanya sambil menyempurnakan bil yang aku serahkan. Rasa puas bila dapat cakap macam tu. Macam tazkirah pendek pulak. Sebelum meninggalkan kaunter aku mengucapkan terimakasih dan salam, sambil tersenyum.
Rasanya, ramai yang mengalami peristiwa sebagaimana yang aku alami. Ramai jugalah yang hanya berdiam diri, malas untuk membuat apa-apa tindakan. Tak kuasa atau malas atau dah naik muak dengan perkhidmatan pelanggan di jabatan kerajaan ni. Entah lah................ sendiri mahu ingat.
Cerita 2 – Makan kat Kenny Roger
Hari itu aku telefon isteri aku yang kebetulan bercuti yang tengah doh heboh shopping untuk beli barangan untuk kelas masakan yang akan diadakan hari ahad nanti. “Assalamualaikum, Za, kita lunch sama?”, kata ku sebaik aje isteriku menjawab panggilan. “Nak makan kat mana?”, tanya isteri ku. Kita makan kat Jusco Bukit Tinggi, Kelang lah, baru buka tu boleh jugak tengok-tengok”, jawab ku. “Okaylah, kita jumpa dalam pukul satu tengahari nanti”, kata isteri ku. “Right, roger and out”, kata ku sambil meletakkan telefon.
Tepat pukul satu aku dah sampai awal dan menunggu isteri ku. Beliau masih belum sapai lagi. Lambat pulak, perut ni dah bekeroncong. Aku ni satu tebiat kalau lapar tak boleh tahan-tahan, mengigil sampai boleh lembik lutut. Entahlah dia orang kata “hypo’ tak ada gula dalam badan. “Assalamualaikum, kat mana sekarang?’ tanya aku sebaik isteriku mengangkat telefon. “Jap, lagi dah kat tempat parking”, jawabnya.
“Kita nak makan kat mana ni?”, tanya isteri ku, sebaik sampai. “Kita round dulu tengok mana yang best”, jawab ku. Kami kemudiannya bersetuju untuk makan kat Kenny Roger, lama jugak tak makan kat kenny Roger ni. Setelah mengambil tempat duduk datanglah seorang pelayan perempuan. Budak baru kot tengah tunggu result SPM kot, kata ku dalam hati. “Pakcik nak order apa?, tanya beliau. Aku buat-buat terkejut “Pakcik? Aaaiiik kalau panggil pakcik nampak macam tua sangatlah saya ni”, “Abang nak makan apa?” sambung budak perempuan tu. “Kalau panggil abang mungkin isteri saya cemburu, sebenarnya kedua-dua panggilan tu tak sesuai. Untuk lebih professional panggil pelanggan anda Encik atau Puan, itu lebih baik, lebih professional”, kata ku. “Boleh saya ambil order Encik?” tukar beliau. Aku dan isteri cuma tersenyum. Seketika, datang seorang lelaki menyapa aku, “Encik Ali, kenal saya tak?” tanya beliau. Nama mungkin tak ingat ni, tapi kalau wajah tu pernah lihat, ni mesti bekas pelajar aku kat UiTM ni. “Maaflah nama mungkin tak kenal tapi rupa tu cam lah jugak, you pelajar Bachelor Foodservice kan?” tanya ku. “Ya, encik, dah order ke? Tanya beliau. Setelah berbual seketika, aku pun mengambil kesempatan untuk memberikan teguran kepada beliau, memandangkan beliau seorang pengurus di restoran tersebut. Aku tegaskan agar beliau latih kakitangannya untuk membahasakan ganti nama Encik atau Puan kerana itu lebih baik daripada Pakcik atau Abang, Makcik atau Kakak kerana sesetengah orang agak terasa. "Encik 'sound' lebih professional', kata ku. Dia ucapkan terima kasih atas teguran itu .................... entahlah samada dia ada buat teguran kepada kakitangannya atau tidak aku tak tahu. Tapi kunjungan aku kali kedua dengan isteri ke restoran yang sama untuk makan bersama sempena ulang tahun perkahwinan (budget lari la tu) yang ke dua puluh tempoh hari, pelayan yang mengambil pesanan tak pulak memanggil aku Pakcik. Jangan salah sangka aku bukan takut tua untuk dipanggil dengan ganti nama Pakcik. Tapi rasanya panggilan itu tidak tepat dalam suasana yang professional. Lainlah kalau kita dah kenal antara satu sama lain dalam keadaan kemesraan dan kekeluargaan itu berbeza sama sekali.
Aku perhatikan ianya berlaku bukan hanya kat Kenny Roger sahaja, banyak lagi restoran yang aku kunjungi...... kadang kat Sushi King pun sama juga (ni salah satu restoran kegemaran aku sebulan sekurang-kurangnya sekali atau dua kali mesti pergi), TESCO, Giant, Econsave kadang peristiwa yang sama juga berlaku. Entahlah .............. pegawai atau mereka yang bertanggung jawab dalam latihan tak peka atau kakitangannya yang kurang peka........ fikirlah sendiri.
Friday, June 13, 2008
Perkhidmatan Pelanggan - Permulaan ...... Budaya dan Pelancongan
Sebenarnya bukan cerita Daud yang hendak aku sampaikan atau cerita tentang Langkawi. Daud sekarang ni dah pun berjaya dah jadi "Junior Sous Chef" kat hotel bertaraf lima bintang. Langkawi juga menarik masih lagi menjadi tumpuan pelancong. tetapi yang ingin aku ceritakan adalah peristiwa semasa pulang dari Langkawi dan perkaitannya dengan perkhidmatan pelanggan terutama sekali apabila melibatkan orang kita. Mungkin peristiwa ini dah lama berlaku, tidak silap aku tahun 1995, tetapi kesan daripada peristiwa itu menyebabkan aku memilih Langkawi sebagai destinasi terakhir dalam perancangan percutian keluarga.........
Peristiwa berlaku semasa pulang dari Langkawi dengan feri Kuala Perlis. Tahu ajelah bila pulang dari Langkawi masing-masing tentu sekali membawa lebih dari satu beg. Melangkah masuk aje ke dalam feri masing-masing berebut-rebut untuk mencari tempat untuk meletakkan beg. Disebabkan tiada seorangpun kakitangan feri yang memberi pandu arah atau menjaga, penumpang meletakkan beg / barangan mereka di tempat yang difikirkan “sesuai”. Sebaik feri nak berlepas, tiba-tiba terdengar suara pengumuman dari pembesar suara. “Tuan-tuan dan puan-puan yang meletakkan barang dan beg mereka di hadapan kaunter kantin harap dapat mengalihkannya dengan segera, suara seorang perempuan jelas kedengaran. Rasanya dapat didengar oleh semua penumpang, memandangkan suasana pada waktu itu agak senyap, mungkin masing-masing berdebar menanti feri untuk berlepas. “Sekiranya tuan-puan tidak mengalihkannya, kami akan campak ke laut”, terdengar sambungan dari pengumuman tersebut. Seluruh penumpang feri ketika itu seakan terkejut dan tersentak. Terdengar komen dari penumpang di hadapan kerusi aku, pasangan haji dan hajah (agaknya lah) mengomel “kurang ajaq sungguh”. Aku waktu itu pun tergamam, macamana boleh ada pengumuman semacam ini. Pada masa yang sama aku terpanggil untuk memberikan teguran kepada sipemunya suara, lalu berjalan ke arah kaunter kantin tersebut. “Boleh saya tahu siapa yang buat pengumuman itu tadi”, kataku. “Bukan....bukan saya encik”, kata seorang remaja lelaki yang berada di sebalik kaunter. Memanglah bukan engkau, tadi tu suara perempuan, kata aku dalam hati. Tetapi yang jelas, budak lelaki tersebut pun berasa kurang senang dengan pengumuman itu tadi. Pada waktu yang sama dari belakang kaunter muncul seorang perempuan. “Ha wat, nak komplen ka?, Saya...sayalah Che Putih Che Ad, pi la komplen kat kapten”, katanya dengan nada yang sombong dan bongkak. Ikutkan hati nak aje aku cakap, kurang ajar engkau ni. Tapi bila fikir balik, kalau aku buat lawan bercakap dengan Minah Langkawi Terakhir (MLT) ni, tentu martabat aku pun jatuh serendah dia. “Dak eh, baguih pengumuman itu tadi, nanti esok lusa buat lagi no”, kata aku dengan loghat utara yang tak berapa nak jadi, lalu terus berlalu meninggalkan perempuan MLT yang agak tercengang.
Bayangkan kalau anda mengalami peristiwa macam ni apa agaknya respon anda. Mana silap agaknya, sikap sopan santun orang timur, lebih-lebih lagi orang kita ni yang beragama islam. Tapi yang pastinya agama tak salah. Anda semua mungkin mempunyai pengalaman yang tidak menyenangkan tentang perkhidmatan pelanggan, baik semasa berususan dengan kaunter kerajaan (tentulah yang jaga kaunter tu orang kita), restoran milik orang kita atau apa-apa urusan yang berhadapan dengan orang kita dalam soal perkhidmatan pelanggan tentu pernah mengalami peristiwa sebegini. Kalau tak pernah ucapan tahniah diucapkan kepada anda.
Entahlah........ tapi yang pastinya sejak peristiwa berhadapan dengan MLT tu, hati aku tawar untuk bercuti ke Langkawi. Langkawi tak silap................ silapnya...............?
Wednesday, June 11, 2008
Salam Pengenalan
Diberkati ALLAH SWT senantiasa.
Salam buat semua yang melayari blog ini. Menjadi impian dan tujuan saya untuk berkongsi fikiran dengan semua mengenai dunia gastronomi. Sebagai salam pengenalan, elok saya perkenalkan diri saya. Saya seorang pendidik di IPTA tempatan dan juga seorang Chef dalam bidang Seni Kulinari. Kelayakan, pengalaman dan minat saya di dalam dua bidang iaitu kulinari dan pemasaran (marketing). Sebagai seorang Chef saya percaya dalam perlunya menghasilkan produk yang baik dan berkualiti dan di dalam waktu yang sama saya juga percaya produk yang baik perlu disertakan dengan nilai-nilai pemasaran. Selain daripada itu, saya mempunyai kecenderongan dalam isu perkhidmatan pelanggan (customer service). Mungkin ini terbit dari perasaan saya yang terpanggil melihat berbagai kelemahan orang kita dalam dunia pemasaran lebih-lebih dalam hal-hal berkaitan perkhidmatan pelanggan. Cuba tanya berapa ramai dari kita yang mempunyai pengalaman yang kurang menyenangkan apabila berlanggan di restoran orang kita?
Baiklah nanti dikesempatan yang lain kita mungkin akan membicarakan akan isu-isu tersebut terutama sekali di dalam sektor perkhidmatan makanan (foodservice sector). Saya ingin membawa pembaca kepada pengistilahan yang digunakan yang mana mungkin agak baru bagi sesetengah orang. Istilah Gastronomi berasal dari dua perkataan Greek iaitu "Gastro" yang membawa makna "perut" dan "Nomos" yang bermakna pengetahuan. Pengertian lain gastronomi juga membawa maksud perhubungan diantara Budaya dan Makanan. Terdapat juga yang mendefinasikannya dengan maksud yang lebih luas yang merangkumi perhubungan budaya dan makanan dengan agama, ekonomi, pertanian, geografi, sejarah, moral dan sosial, technologi dan sebagainya.
Apapun makanan ini sebenarnya merangkumi keseluruhan kehidupan kita., dalam apa jua keadaan masa dan ketika kita tidak boleh lari dari makanan. Agama mengajar kita tentang apa yang boleh dan tidak boleh dimakan, budaya mempengaruhi tatacara kita makan, faktor ekonomi memberi kesan tentang apa yang kita makan, pertanian, cuaca dan keadaan geografi dan muka bumi juga berperanan dalam menghasilkan bahan untuk dimakan. Sebenarnya terlalu banyak yang dapat dikaitkan dengan makanan. Tetapi kerana kita "terlalu" biasa dengan makanan hingga kadangkala kita lupa tentang 'penting'nya makanan. Baiklah bertitik tolak dari pada ini INSYAALLAH saya akan memperkembangkan perbincangan ini nanti. Muga ALLAH SWT memberi saya kelapangan masa, kekuatan minda, dan tenaga, serta kenikmatan kesihatan untuk menulis.
Wallahuallam dan Wassallam